Bagi menyokong duniameta oleh syarikat induk Meta yang akan memaparkan grafik yang lebih realistik kelak, Oculus telah mengacah Project Cambria peranti realiti terimbuh mereka yang seterusnya. Hanya imej samar sahaja dikongsi ketika acara Facebook Connect tetapi beberapa maklumat menarik telah dikongsi mengenainya.

Project Cambria adalah peranti realiti terimbuh mercu yang bakal dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding Quest. Malahan ia bukanlah pengganti kepada Quest 2 sebaliknya menjadi platform untuk Oculus menguji teknologi terkini yang telah dibangunkan. Antaranya ialah penggunaan lensa pankek yang mengecilkan komponen optik berbanding yang digunakan sekarang.

Sistem Passthrough yang disokong Oculus selama ini akan akhirnya membenarkan imej berwarna. Oculus membayangkan pemakai Project Cambria melakukan kerja dalam dunia maya tetapi dengan kawalan yang lebih jitu. Ini dilihat sebagai penambahbaikan kepada Oculus Infinite Office sedia ada.

Sensor tambahan pada Project Cambria akan membolehkan ekspresi wajah pemakai dibaca sebelum dimimik oleh avatar 3D yang digunakan di dalam duniameta ataupun sesi pertemuan secara realiti maya.