Cari @ Amanz

Meta mengumumkan hala tuju baharu mereka kini ialah ke arah dunia duniameta malam tadi dan bukan lagi platform media sosial dua dimensi. Bagi menjadikan ini realiti, pelbagai peranti diperlukan untuk membolehkan pengguna menyelam duniameta ini. Selain Project Cambria, Project Nazare juga diumumkan.

Projact Nazare ialah kaca mata teraliti terimbuh (AR) yang lebih canggih bebanding Ray-Ban Stories yang dilancarkan tahun ini. Dalam video konsep yang diperlihatkan, pengguna Project Nazare akan dapat berinteraksi dengan elemen AR yang terapung dalam dunia sebenar. Antara yang boleh dilakukan ialah menerima jemputan untuk sesi permainan video dari teman.

Apabila jemputan diterima, ikon permainan akan terbang mencari permukaan rata untuk memulakan sesi multi pemain. Avatar 3D pemain lain akan muncul secara AR dengan pemakai Project Nazare kemudian berinteraksi dengan mereka dalam dunia sebenar. Tidak seperti Project Cambria yang akan dilancarkan tahun hadapan, Project Nazare masih di peringkat ujian kerana teknologi yang diperlukan masih belum wujud untuk digunakan pada produk komersial.

Dengan kata lain melalui Horizon, Horizon Home, dan Horizon Workrooms, filem sains fiksyen Ready Player One akan menjadi realiti dengan Mark Zuckerberg dan bukannya James Halliday. Inilah pesaing kepada Apple Glass yang dijangka mula dipasarkan tahun hadapan. Dengan Apple dan Meta mempunyai visi yang sama tetapi enggan bekerjasama, duniameta siapakah akan berjauya?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd