Carian
Vivo V23e Hadir Dengan Cip MediaTek Helio G96, Kamera Swafoto 50MP
November 8, 2021 Amy Maizuraa

Rangkaian peranti Vivo di bawah siri V lebih memfokuskan kepada kemampuan fotografi yang baik. Bukan itu sahaja, kebanyakan elemen yang praktikal pada kemasan peranti turut mampu mengimbangi serta memenuhi trend gaya hidup moden hari ini.

Dalam perkembangan terkini, sebuah lagi model baharu di bawah siri berkenaan telah tersenarai di laman sesawang rasmi Vivo Vietnam. Dikenali sebagai Vivo V23e, ia merupakan sebuah peranti pintar yang dilengkapi cip MediaTek Helio G96. Ini adalah cip yang sama boleh ditemui pada Infinix Note 11 Pro dan Realme 8i.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Vivo V23e menampilkan skrin hadapan bertakuk kecil berukuran 6.44-inci beresolusi FHD+ (2400×1080 piksel). Seterusnya, telefon pintar ini juga dipadankan dengan memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB dan sistem penambahan memori secara maya mencapai 4GB.

Bateri pula sebesar 4,050mAh yang turut menyokong pengecasan pantas sehingga 44W. Sistem tri-kamera utama turut digunakan dengan tetapan 64MP + 8MP + 2MP. Kemudian, kamera swafoto pula adalah sebesar 50MP yang didakwa mampu menghasilkan imej yang tajam.

Lain-lain spesifikasi termasuklah sokongan Bluetooth 5.0, port sambungan USB-C, pengimbas cap jari pada skrin dan lain-lain. Terdapat dua pilihan warna yang disediakan seperti Moonlight Dance dan Dawn Melody yang diilhamkan daripada alam semula jadi. Untuk harga, Vivo V23e dijual pada VND 8,490,000 (~RM1,556).

Sumber : Vivo Vietnam

Komen