Siapa sahaja yang tidak ada masalah? Semua akan ada masalah, apa yang penting adalah bagaimana mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Setiap pelancaran telefon pintar baharu, selepas pengguna mula menerima peranti baharu atau pengulas selesai mengeluarkan ulasan mereka – pasti akan ada banyak laporan mengenai masalah berlaku pada sesetengah telefon pintar.
Ini adalah satu perkara yang biasa berlaku, tidak kira iPhone dengan iOS atau peranti-peranti Android. Kita tahu yang Pixel 6 dan Pixel 6 Pro ada masalah skrin yang hanya akan dibaiki Disember ini. Kemudian kita tahu yang ramai laporkan pengimbas cap jari siri Pixel 6 ini perlahan dan Google memberi alasan kerana untuk sekuriti yang lebih ketat. Terkini masalah baharu pada sensor pengimbas cap jari telah ditemui.
Jika bateri Pixel 6 atau Pixel 6 Pro mati, iaitu capai ke tahap 0% dan peranti mati dengan sendiri. Apabila pengguna cas dan hidupkan kali pertama, sensor pengimbas cap jari pada peranti ini dikatakan akan terus mati dan tidak aktif. Cara untuk kembali menggunakan sensor ini adalah dengan format peranti atau pastikan bateri tidak begitu lemah sehingga peranti akan mati dengan sendiri.
Google dilihat telah sedar akan isu ini. Tetapi persoalannya, bila kemaskini akan diedarkan. Masalah skrin pun ambil berbulan, sensor yang penting untuk sekuriti pengguna ini pula bagaimana?