Cari @ Amanz

Pengkomputeran kuantum akan mengubah dunia komputer dalam masa terdekat. Seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini, cip kuantum Sycamore oleh Google dapat melakukan perkiraan kompleks yang mengambil masa 10,000 tahun pada adikomputer IBM Summit dalam masa hanya 200 saat. Minggu ini, IBM mengumumkan cip kuantum Eagle mereka dengan kemampuan 127-qubit yang lebih tinggi berbanding hanya 54-qubit pada Syacamore dan cip kuantum Hummingbird mereka sebelum ini dengan 65-qubit.

Ia adalah cip pertama dari IBM yang mempunyai kuasa melebihi 100-qubit. Dengan Eagle bidang pembelajaran mesin, pemodelan bahan dan molekul, bidang penyelidikan industri ubat dan penyelidikan tenaga akan dapat dipacu menjadi lebih pantas. Dengan kejayaan mereka Eagle, IBM yakin mereka akan dapat menghasilkan cip kuantum Osprey dengan 433-qubit pada tahun 2022 dan kemudiannya Condor dengan 1121-qubit pada tahun 2023.

Turut diumumkan ialah IBM Quantum System Two yang sedang dibangunkan dan akan menggunakan cip Osprey dan Condor. Sistem komputer kuantum ini mempunyai rekaan modular untuk memudahkan penaiktarafan apabila diperlukan serta menggunakan sistem penyejukan kriogenik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd