Cari @ Amanz

Dengan Samsung Galaxy Watch4, Samsung secara rasmi mengucapkan annyeonghi gaseyo kepada Tizen dan mula menggunakan sistem operasi Wear OS. Pertukaran ini membuatkan pengguna jam tangan pintar Tizen tertanya-tanya adakah mereka akan menerima ciri yang sama seperti Watch4? Persoalan ini terjawab selepas Samsung mula memberikan kemas kini kepada beberapa jam tangan Tizen.

Samsung Galaxy Watch, Galaxy Watch3, Galaxy Watch Active, dan Galaxy Watch Active2  kesemuanya diberikan kemas kini sistem operasi yang membawakan 10 muka jam baharu yang diterima oleh Galaxy Watch4. Pada waktu yang sama sistem mengesan jatuh yang lebih sensitif turut diberikan. Dengan ciri ini panggilan kecemasan akan dilakukan bagi pihak pemakai walaupun mereka jatuh dari kedudukan statik.

Pada waktu ini kemas kini diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat dan Korea Selatan terlebih dahulu dengan pengguna global akan menerimanya secara berperingkat. Kepada pengguna jam tangan Tizen, Samsung hanya akan menyokong sistem operasi ini selama tiga tahun sahaja lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd