Carian
Samsung Mengacah Peranti Boleh-Gulung Dan Galaxy Note Boleh-Lipat
November 23, 2021 Effi Saharudin

Bukan misteri atau rahsia bahawa Samsung mempunyai pelbagai paten untuk peranti boleh-lipat dan boleh-gulung. Beberapa video promosi yang telah dihasilkan menunjukkan masa depan dengan peranti skrin multi-lipat dan berubah saiz dengan skrin gulung. Tetapi Samsung Display kini mengesahkan skrin untuk menghasilkan semua peranti fantasi ini adalah realiti.

Samsung Display menunjukkan rangkaian produk mereka di laman rasmi. Di bawah keluarga Flex OLED mereka, imej pengolokan peranti skrin boleh-gulung, TV boleh-gulung dan Galaxy Note boleh-lipat telah diperlihatkan. Rekaan Flex Note kami rasakan paling menarik kerana ia telah dipatenkan pada tahun 2019 sebelum dianugerahkan kepada Samsung tahun ini.

Berbeza dengan Galaxy Z Fold yang menggunakan panel Flex Square dan Galaxy Z Flip yang menggunakan panel Flex Bar, panel Flex Note mempunyai saiz seperti Flex Square tetapi dengan engsel lipatan mendatar seperti Flex Bar. Adakah ini petanda paling awal Galaxy Note masih belum mati tetapi akan dilahirkan semula sebagai peranti skrin-boleh lipat dengan orientasi lipatan baharu?

Hanya masa akan menjawab persoalan ini. Umum diketahui Samsung Display menawarkan panel kepada pengeluar lain dan tidak mustahil jika Samsung tidak menggunakannya, pengeluar lain pula akan menawarkan peranti dengan rekaan seperti ini.

Komen