Rasanya baru sahaja Honor 50 dilancarkan sekitar bulan September yang lalu. Terkini, Honor dalam persediaan untuk pengenalan penggantinya pula iaitu Honor 60. Tarikh pelancarannya juga telah dikongsi yang mana ia dijadulkan berlangsung di China pada 1 Disember depan.
Berkongsi lebih lanjut mengenainya, rekaan panel belakang peranti kini telah diperlihatkan menerusi poster rasmi baharu. Ia memperlihatkan peranti akan dilengkapi modul kamera utama berbentuk bujur bersama dua lensa gergasi. Turut kelihatan, terdapat satu lagi lensa bersaiz kecil yang ditempatkan di tengah-tengah antara kedua-dua lensa tadi. Ini sekaligus menunjukkan Honor 60 akan mempunyai sokongan tiga kamera di belakang. Tidak ketinggalan, terdapat juga sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang. Ia juga merupakan peranti yang hadir dengan sokongan 5G secara terbina.
Buat masa ini, belum ada sebarang informasi lanjut berkaitan spesifikasi peranti yang ditemui. Bagaimanapun terdapat beberapa dakwaan yang mengatakan peranti ini berkemungkinan besar hadir dalam beberapa variasi berbeza seperti pendahulunya. Ianya mungkin terdiri dengan Honor 60, Honor 60 Pro dan Honor 60 SE. Namun, ia masih di peringkat spekulasi awal tetapi kita boleh menyasarkan lebih banyak maklumat yang bakal dikongsi oleh Honor dalam masa terdekat.
Sumber : Weibo