Pandang Pertama Huawei P50 Pro – Peranti Mercu Fotografi Huawei Kembali

Diterbitkan pada Dis 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah masuk tahun kedua Huawei terpaksa berdikari dengan sistem operasi sendiri selepas tidak lagi dibenarkan menggunakan GMS. Sistem HMS mereka kini semakin baik dengan pelbagai aplikasi penting ditawarkan dengan mudah serta dengan sokongan Petal Search pula mengisi kekosongan yang ada. Perisian HarmonyOS yang saya cuba pula mempunyai potensi yang baik untuk menjadi sistem operasi alternatif kepada Android dan iOS.

Dengan Huawei P50 Pro akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, kami mendapat akses awal peranti yang dinantikan peminat siri P yang terkenal dengan kemampuan fotografinya. Ini ialah pandang pertama kami untuk peranti mercu pertama Huawei di Malaysia untuk tahun 2021.

Spesifikasi

Huawei P50 Pro
Skrin6.6″ OLED, 1228 x 2700 pixel
120Hz adaptif
PemprosesKirin 9000 (5nm)
Cip1 X 3.13 GHz Cortex A77
3 X 2.54 GHz Cortex A77
4 X 2.05 GHz Cortex A55
Cip GrafikMali-G78 MP24
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman256GB (NM card 256GB)
Kamera Utama50+64+13+40 Megapixel.
f/1.8+f/3.5+f/2.2+f/1.6, OIS, HDR, 4K 60p
Kamera Depan13 Megapixel f/2.4, 4K 60p
Bateri4360 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari terbina dalam skrin
Harga JualanRM?

Skrin

Skrin 6.6″ OLED FHD+ tahun ini bukan sahaja lebih besar berbanding 6.58″ pada P40 Pro+. Selain skrin yang lebih besar, kadar segar semula meningkat ke 120Hz adaptif berbanding hanya 90Hz tahun lalu. Dengan ini P50 Pro mempunyai skrin yang setanding dengan yang digunakan oleh Apple, Samsung dan Xiaomi pada peranti paling mercu mereka tahun ini. Pada waktu yang sama rekaan skrin yang melengkung pada kedua-dua sisi juga turut dikekalkan. Huawei nampaknya masih merasakan rekaan ini masih relevan untuk memberikan ilusi peranti yang hampir semua skrin dan bezel yang ultra nipis.

Secara rasminya skrin peranti tidak melepasi sebarang piawaian HDR. Tetapi apabila menggunakan aplikasi YouTube, video HDR dapat dimainkan tanpa sebarang masalah. Apabila diletakkan bersebelahan skrin iPhone 13 Pro Max, saya tidak dapat melihat sebarang perbezaan yang ketara. Dari pandangan mata kasar saya yang tidak seberapa ini, skrin P50 Pro adalah setanding dengan skrin peranti terbaik Apple tahun ini.

Perbezaan lain yang ketara ialah penggunaan satu sahaja lubang kamera di hadapan dan tiada lagi lubang berbentuk bujur. Dengan rekaan ini peranti kelihatan lebih simetri dari hadapan dan sekaligus ruang yang lebih besar boleh digunakan bagi mempamerkan notifikasi yang diterima. Pada bahagian atas juga terdapat kekisi pembesar suara sama seperti pada Mate 40 Pro.

Jika anda ingat tahun lalu P40 Pro+ hanya dilengkapi speaker mono yang membuatkan pengalaman audio menjadi kurang seimbang. Dari segi teknologi skrin, jelas sekali P50 Pro membawakan pelbagai penambahbaikan berbanding P40 Pro+ dengan menyelesaikan beberapa isu yang telah dibangkitkan tahun lalu.

Pengimbas cap jari bawah skrin juga masih dikekalkan dan seperti yang kita sedari sejak dua tahun yang lalu, ini ialah sistem yang paling menyenangkan kerana imbasan wajah sukar digunakan apabila pengguna memakai pelitup muka sepanjang masa.

Rekaan

Rekaan tubuh peranti memang terasa premium. Bahagian sisi yang dibulatkan tidak menyakitkan tangan apabila dipegang dan juga tidak terasa licin. Seperti yang telah saya katakan di beberapa perenggan di atas, hanya permukaan kaca yang besar di bahagian sisi menjadi isu kerana terdedah kepada hentakan terus. Butang kuasa dan laras suara pada sisi kanan juga terasa tegap. Dari segi kualiti binaan Huawei memang setanding dengan apa yang mampu ditawarkan Samsung, Apple dan Oppo.

Panel belakang diperbuat daripada bahan kaca yang sedikit pudar. Sungguhpun begitu ia masih memerangkap kotoran dengan terlalu mudah. Huawei memberikan kerangka polikarbonat dengan setiap pembelian dan ini sedikit sebanyak menyelesaikan isu panel belakang yang berminyak.

Bercakap tentang panel belakang, dwi-bonggol kamera yang digunakan adalah agak besar sehingga peranti tidak boleh diletakkan rata di permukaan meja tanpa bantuan kerangka. Ada yang mungkin mengatakan rekaan bonggol kamera P50 Pro adalah tidak cantik tetapi saya terdiri dalam golongan minoriti yang menyukainya. Sejak kali pertama rekaan ini tertiris tahun lalu saya menyukainya.

Kerana pelbagai sekatan perdagangan yang dikenakan, rekaan P50 Pro digunakan terlebih dahulu pada Honor 50 Pro. Maka ada yang mungkin mengatakan rekaan peranti ini tidak lagi unik. Saya faham apa yang anda maksudkan tetapi ini ialah rekaan asal Huawei dan saya berikan kredit kepada pereka asalnya.

Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan USB-C yang dihimpit oleh kekisi speaker dan talam SIM. Talam SIM menyokong dwi-SIM nano dan satu NM Card sebesar 256GB untuk storan tambahan. Akhir sekali pada bahagian atas terdapat pula pemancar infra merah untuk alat kawalan jauh.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Huawei P50 Pro ialah telefon pertama Huawei yang saya ulas menggunakan Harmony OS 2.0. Sebelum ini saya hanya menggunakan Harmony OS 2.0 pada tablet dan menyukainya. Pada skrin yang lebih kecil sistem operasi yang sebenarnya berasaskan Android 10 masih lagi sedap digunakan. Masih lagi mengekalkan elemen-elemen asal EMUI tetapi dengan beberapa perubahan kecil yang membuatkan antaramuka kelihatan lebih menarik. Tanpa halangan dari Google lagi, Huawei bebas mengubah antaramuka mengikut keperluan mereka.

Talam tetapan pantas misalnya lebih mirip iOS 15 dengan kotak besar khusus untuk mengawal media, aksesori bluetooth dan juga WiFi. Kemudian jubin-jubin pintasan pantas lain seperti mod kapal terbang boleh ditambah sekiranya diinginkan oleh pemilik peranti. Paling penting sekali segala animasi memang lancar lebih-lebih lagi sekiranya mod skrin 120Hz adaptif diaktifkan.

EMUI adalah antara pelancar yang akan tetap lancar selepas dua tahun penggunaan. Sesuatu yang harus saya katakan agak jarang pada pelancar Android yang lain. Kerana Harmony OS 2.0 masih berusia sebulan jagung, saya tidak tahu sama ada sistem optimasi perisian bagi mengelakkan peranti terasa perlahan dikekalkan atau tidak. Diharapkan ia dikekalkan kerana ia antara sebab mengapa saya masih menggunakan P30 Pro di rumah kerana kelancarannya kekal dari hari pertama sehingga ke hari ini.

Dengan Huawei Mobile Services, ekosistem yang setahun lalu sedikit rompong kerana hilangnya aplikasi Google telah berjaya ditampal. Aplikasi yang ditawarkan dalam App Gallery juga bertambah. Jika tiada sekalipun Petal Search boleh digunakan untuk memuat turun APK yang diperlukan. Ia masih bukan penyelesaian yang paling elegan tetapi adalah yang terbaik untuk waktu ini sehinggalah perang perdagangan Amerika Syarikat dan China berakhir.

Penanda Aras

Misteri mengenai prestasi sebenar Kirin 9000 akhirnya terungkai. Tahun lalu kesemua aplikasi penanda aras tidak boleh dipasang pada Mate 40 Pro yang menggunakan cip yang sama. Jadi apakah markah yang berjaya dicatatkan oleh Kirin 9000 yang dihasilkan menggunakan teknologi 5nm ini? Dalam ujian Geekbench 5 ia mencatatkan 785/3174 markah dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 683,878 markah.

Ini pula markah yang dicatatkan oleh pemproses pesaing:

Apple A15 Bionic – Geekbench 5 (1716/4678) dan Antutu 3D (789,647)

Snapdragon 888 – Geekbench 5 (1122/3620) dan Antutu 3D (818,572)

Kamera

Sistem kuad kamera digunakan dengan lensa sudut lebar 50MP, lensa telefoto 64MP, lensa monokrom 40MP dan lensa sudut ultra lebar 13MP. Kesemua lensa adalah peningkatan dari kamera yang digunakan pada P40 Pro+. Di hadapan pula sensor 13MP digunakan dalam lubang kamera yang kecil. Dengan sistem kamera yang digunakan ini, peranti mempunyai kemampuan julat zum sehingga 200 X.

Perubahan paling menarik ialah kembalinya sensor monokrom yang kali terakhir digunakan pada P20 Pro. Saya antara insan yang amat menyukai sensor monokrom peranti Huawei kerana mempunyai Leica Look yang unik. Sejak sensor monokrom dihentikan penggunanya beberapa tahun yang lalu, mod hitam putih siri P pada hemat saya sedikit mengecewakan.

Lensa sudut lebar dan telefoto dilengkapi dengan sistem OIS yang menstabilkan gambar dan membolehkan gambar yang lebih tajam diambil khususnya pada waktu malam. Hasilnya ialah mod malam Huawei menjadi bualan industri. Berikut ialah beberapa contoh gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera P50 Pro.

Kesimpulan

Pengalaman awal kami amat positif kerana beberapa isu yang wujud tahun lalu telah diselesaikan. Skrin lebih pantas, pemproses lebih laju, sensor kamera yang lebih besar dan kapasiti bateri juga meningkat. Peranti memang teras lebih lancar dengan penggunaan skrin 120Hz.

HarmonyOS 2.0 juga memberikan anjakan paradigma kepada rekaan pelancar Huawei yang sedikit statik semasa menggunakan EMUI. Tanpa halangan dari Google, Huawei bebas memberikan wajah baru kepada talam notifikasi, talam pintasan pantas dan juga beberapa aplikasi mereka sendiri. Sejak dilancarkan HarmonyOS 2.0 telah diberikan beberapa kemas kini bagi memastikan ciri yang ditawarkan adalah setanding yang diberikan pada Android dan iOS.

Paling menarik bagi saya ialah sistem kamera kerana P pada siri P ialah untuk Photography. Sistem kamera yang dipertingkat masih hadir dengan lensa Leica. Sejak kerjasama dilakukan, kualiti gambar peranti Huawei konsisten antara yang terbaik telefon pintar dan P50 Pro nampaknya akan meneruskan tradisi ini berdasarkan sampel gambar yang diambil. Masih tiada tarikh rasmi bilakan P50 Pro akan dilancarkan di Malaysia. Saya akan cuba menerbitkan ulasan penuh pada tarikh pelancarannya kelak. Teruskan bersama Amanz.

Pro

  • Skrin 120Hz adaptif.
  • Rekaan yang unik dan menarik.
  • Sistem kamera yang dipertingkatkan.
  • Pengecasan pantas 66W.
  • Speaker stereo.

Kontra

  • Skrin melengkung bukan untuk semua.
  • Tiada GMS.
  • Pengecas tidak diberikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2022 Kami