Cari @ Amanz

Semalam buat pertama kalinya Google mendedahkan Wear OS 3.0 tanpa antaramuka One UI. Ia adalah versi asli daripada mereka khusus untuk pembangun mula uji aplikasi mereka atau muka jam, Tile dan sebagainya. Walaupun begitu, Wear OS 3.0 masih kekal eksklusif untuk Samsung. Jam lain hanya akan mula menerima kemaskini pada pertengahan 2022.

Tetapi mungkin ujian beta dapat diuji dalam masa terdekat. Harapnya begitu.

Dalam pelagak rasmi Google untuk Wear OS 3.0 ini, ia mendedahkan banyak elemen rekaan Android 12 dan Material You. Seperti yang boleh kita lihat serba sedikit pada Wear OS 2.x sekarang. Perubahan drastik adalah pada tetapan sistem, seperti kawalan kecerahan, kesan warna cerun banyak digunakan serta lebih mesra skrin bulat dan kelihatan lebih menenangkan.

Perkara yang paling menarik dalam Wear OS 3.0 asli ini adalah, pihak 9to5Google menemui beberapa muka jam yang mungkin ditujukan untuk Pixel Watch. Terdapat 10 muka jam ditemui, di antaranya turut kelihatan logo Fitbit yang mengesahkan Wear OS 3.0 turut akan mempunyai integrasi Fitbit.

Antara muka jam yang ditemui turut mirip dengan apa yang Jon Prosser dedahkan April lalu. Setakat ini, informasi yang beliau kongsi majoritinya tepat. Selain itu, muka jam yang ringkas yang sesuai dengan konsep minimalistik Pixel turut kelihatan bersama-sama dengan rekaan dengan tema landskap.

Muka jam ini semuanya menggunakan elemen rekaan Android 12 juga yang akan memberikan satu pengalaman baharu untuk pengguna Wear OS. Pixel Watch jika benar itu namanya, dikatakan akan dilancarkan pada tahun hadapan. Jadi mungkin selepas pengenalan jam tangan pintar Google baru kita akan lihat Wear OS 3.0 diedarkan kepada umum. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd