Menurut laporan lalu, siri iPhone 14 Pro akan menggunakan sensor kamera 48MP di samping turut menaiktaraf memori daripada 6GB yang digunakan sekarang pada siri iPhone 13 Pro kepada 8GB RAM.
Terkini penganalisa Ming-Chi Kuo, menyatakan penggunaan sensor kamera 48MP ini adalah untuk sokongan rakaman 8K. Rakaman video 8K ini juga dikatakan adalah resolusi yang sesuai untuk dipaparkan dalam set kepala realiti maya Apple yang juga akan dilancarkan pada tahun 2022 kelak.
Tambahan Kuo lagi, iPhone 14 Pro juga akan menggunakan teknik Pixel Binning untuk kamera 48MP mereka. Ia akan menggabungkan 12MP x4. Tetapi tidak pasti lagi sama ada Apple akan menawarkan mod khas 48MP atau semuanya automatik.
Untuk iPhone generasi seterusnya, mungkin iPhone 15 – Apple mungkin akhirnya akan mula menggunakan sensor periskop. Penggunaan sensor ini juga adalah satu kebaikan kepada pengeluar Apple di Taiwan iaitu Largan Precision untuk meningkatkan lagi nilai syarikat, pendapatan dan keuntungan.