Cari @ Amanz

AirPods Pro tidak dinafikan adalah antara TWS dengan sokongan pembatalan hingar aktif terbaik. Lebih-lebih lagi untuk pengguna ekosistem Apple. Kita sudah pun masuk tahun 2022, menjadikan TWS ‘Pro’ Apple ini hampir mencecah usia 3 tahun dan kemaskini yang kita dapat hanya versi MagSafe? Panggilan telefon dengan pembatalan hingar aktif bila?

Berita baik kepada mereka yang masih belum beli AirPods Pro dan ada hasrat ingin beli dan kepada mereka yang ingin mencari pengganti selepas menggunakan sejak ia kali pertama dilancarkan – Ming-Chi Kuo melaporkan yang AirPods Pro 2 akan dilancarkan tahun ini.

AirPods Pro 2 dijangka untuk menjadi antara yang terawal TWS menyokong audio nirhilang. Apple jelas sekali ingin padankannya dengan Apple Music yang sedia menyokong penstriman audio kualiti tinggi ini. Format yang akan digunakan dikatakan adalah ALAC iaitu Apple Lossless.

Apple juga dilaporkan akan menggunakan rekaan serba baharu untuk TWS Pro baharu mereka ini. Ini adalah untuk memuatkan komponen tambahan seperti sensor untuk memantau kecergasan pengguna. Rekaan mungkin mirip atau ada elemen seakan Beats Fit Pro 2021.

Apple turut dikatakan ingin cuba mencapai jumlah penjualan mencapai 18-20 juta pada tahun sama pelancaran. Tarikh pelancaran dijangka adalah suku keempat 2022.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd