Asus Zenbook Duo adalah siri komputer riba yang memfokuskan penggunaan dwi-skrin 4K. Model ini bukannya seperti Zephyrus yang memfokuskan permainan video, sebaliknya ZenBook adalah untuk produktiviti dan kerja-kerja pejabat. Untuk edisi Duo ini dengan nombor model UX582LR, Asus memfokuskan kepada pengguna kreatif yang ingin mencipta kandungan.
Cuma menjadi persoalan, adakah komputer riba ini cukup bagus? Harga jualannya untuk unit yang akan saya ulas ini adalah RM12,999. Yang mana lebih baik, penggunaan dwi-skrin atau seperti MacBook dengan Touch Bar? Selepas beberapa bulan menggunakan komputer riba ini, tidak dinafikan ia adalah komputer riba yang cukup berkuasa. Cuma, sayang sekali Windows 10 dan Windows 11 tidak begitu bijak dalam mengendalikan penggunaan dwi-skrin 4K. Kenapa?
Spesifikasi Dan Rekaan
Skrin | Skrin Utama: 15.6-Inci OLED 4K UHD, 16:9, 3840 x 2160 Skrin Kedua: ScreenPad Plus 14″ 3840 x 1100 4K IPS Dengan sokongan stilus |
Pemproses | Intel Core i7-10870H 2.2 GHz |
Grafik | NVIDIA GeForce RTX 3070 |
RAM | 32 Gigabyte DDR4 |
Muatan Dalaman | 1TB M.2 NVMe PCIe 3.0 SSD |
Kamera | Kamera HD dengan sensor Infra Merah |
Sambungan | 1x HDMI 2.1 1x 3.5mm Kombo bicu audio 1x DC-in 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A 2x Thunderbolt 3 Wi-Fi 6 (802.11ax) Bluetooth 5.0 (SDwi-band) 2×2 |
Audio | Stereo oleh Harman/Kardon |
Sekuriti | Imbasan wajah Windows Hello |
Bateri | 92WHrs, 4S2P, 8-sel Li-ion |
Harga Jualan | RM12,999 |
Komputer riba ini padat dengan spesifikasi hebat yang pasti akan memenuhi citarasa ramai pengguna kreatif. Skrin besar 15.6-inci panel OLED dengan resolusi 4K yang ditemani pula dengan skrin 4K kedua bersaiz 14-inci daripada panel IPS. Ia dijana dengan cip Intel Core i& generasi ke-10, dipadankan dengan 32GB RAM DDR4 serta storan dalaman 1TB SSD M.2 NVMe PCIe 3.0. Turut disediakan adalah kamera HD yang ada sensor infra merah untuk imbasan wajah Windows Hello, menyertakan banyak port sambungan berguna seperti 1x HDMI 2.1, 1x 3.5mm bicu audio, 1x untuk pengecasan, 1x USB-A 3.2 dan 2x USB-C Thunderbolt 3.
Komputer riba ini juga hadir dengan audio stereo yang dikuasakan oleh Harman/Kardon, bateri sebesar 92WH jenis 8-sel dengan kuasa pengecasan 240W, serta kipas penyejuk untuk menyejukkan peranti.
Rekaan juga kelihatan cantik dan premium, tampak profesional dan tidak begitu serabut dengan elemen-elemen yang tidak patut. Walau bagaimanapun, berat melebihi 2KG adalah amat tidak sesuai untuk sebuah komputer riba kerana agak berat. Produk ini lebih kepada pengganti komputer dan kurang sesuai untuk di bawa ke mana sahaja.
Skrin
Skrin Asus Zenbook Duo ini adalah antara skrin terbaik pada sebuah komputer riba yang pernah saya gunakan. Ia tidak mempunyai kadar segar semula tinggi yang menarik perhatian untuk permainan video, tetapi ia mempunyai warna yang cukup cantik dan terang. Resolusi tinggi mencapai 4K juga memberikan pengalaman penggunaan yang baik kerana paparan yang cukup tajam, jelas dan butiran yang dipelihara dengan baik.
Kemasan kusam pada skrin juga amat membantu dan memberi keselesaan tambahan sepanjang penggunaan. Ia tidak menyakitkan mata saya walaupun skrin ditetapkan pada kecerahan yang paling tinggi. Kerana warna yang dipaparkan menepati citarasa ia turut memudahkan kerja-kerja suntingan imej atau video yang saya lakukan.
Menggunakan komputer riba ini untuk menikmati hiburan juga amat menakjubkan. Menstrim Netflix memberikan pengalaman yang memuaskan pada resolusi paling tinggi.
Skrin kedua yang digelar ScreenPad+ bersaiz 14-inci ini juga berguna dan bukanlah sekadar gimik. Ia boleh digunakan untuk memaparkan kandungan tambahan sekaligus membolehkan saya melakukan kerja-kerja secara lebih efisien. Ia turut boleh digunakan untuk memaparkan perisian sekunder tanpa ia mengambil ruang pada skrin utama.
Masalah yang saya sedari sepanjang tempoh ulasan ialah, komputer akan mula terasa perlahan apabila kedua-dua skrin 4K ini diaktifkan serentak. Saya menyarankan resolusi kedua-dua skrin dikurangkan atau ScreenPad+ dimatikan sahaja untuk mendapatkan prestasi penggunaan yang lebih lancar dan pada waktu sama turut akan memanjangkan hayat bateri.
Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh
Papan kekunci adalah jenis chicklet, yang mana tidak begitu selesa apabila ditekan. Setiap kekunci terasa sempit dan tidak mempunyai travel yang baik di antara kekunci. Ini membuatkan proses menaip lebih perlahan dan jari-jemari mudah rasa lenguh dan penat. Mungkin ini adalah kerana di pejabat saya menggunakan sebuah papan kekunci mekanikal penuh dah lebih selesa dengan kekunci yang lebih besar serta jarak travel yang lebih jauh.
Kerja-kerja menaip artikel ringkas pun rasa agak leceh dan tidak memberikan sebarang pengalaman yang memuaskan. Menekan setiap kekunci juga terasa terlampau lembut seakan tiada tindak balas. Akibatnya saya menyedari kesalahan ketika menaip berlaku dengan lebih kerap berbanding biasa.
Pad sesentuh juga berada di posisi yang lain daripada kebiasaan, kerana diletakkan di sisi kanan papan kekunci. Ia juga boleh berfungsi sebagai pad nombor dengan ada lampu LED boleh diaktifkan untuk memaparkan nombor untuk ditekan dengan lebih tepat.
Walaupun posisi ini bukanlah yang paling praktikal, ia mengesan setiap tatalan dan sentuhan yang dilakukan dengan cukup baik sekali. Namun begitu kerana kedudukannya yang menyakitkan tangan, saya lebih selesa menggunakan tetikus sewaktu melakukan kerja.
Prestasi Dan Penanda Aras
Dengan spesifikasi cip Intel Core i7-10870H, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070, memori 32GB RAM DDR4, dan storan SSD 1TB, tidak dapat dinafikan Asus Zenbook Duo adalah komputer tang amat berkuasa. Di atas kertas ia cukup berkuasa untuk menikmati permainan video AAA dan pada waktu yang sama melakukan tugasan berat seperti menghasilkan grafik 3D. Tetapi dalam penggunaan dunia sebenar prestasinya mengecewakan.
Dalam ujian penanda aras Fire Strike Ultra, ia hanya mencatatkan 5,553 markah dan pada Port Royal pula hanya mencatakan 5,085 markah. Dengan spesifikasinya ia sepatutnya boleh mencatatkan markah yang lebih tinggi sehingga mungkin dua kali ganda. Di laman 3DMark, dapat dilihat markah yang mencapai belasan ribu dicatatkan komputer dengan spesifikasi setanding.
Penggunaan dwi-skrin ini juga menyebabkan komputer kerap lengah masa dan masalah sistem tergendala. Perisian yang sedang digunakan tertutup dengan sendiri atau terus tidak boleh digunakan sehinggalah komputer dibut semula. Namun apabila mematikan ScreenPad+ , komputer terus terasa lebih berkuasa sehingga berada di luar jangkaan saya sendiri. Cubaan menjalankan beberapa permainan video bergrafik tinggi juga tiada masalah.
Amat mengecewakan untuk sebuah komputer riba yang dicipta untuk memanfaatkan dwi-skrin, tetapi untuk pengalaman penggunaan terbaik – ia perlu dimatikan terlebih dahulu. Sepanjang menggunakan komputer riba ini, saya amat sukakan konsep dwi-skrin ini.
Photoshop yang kerap saya gunakan untuk sunting imej, boleh mempunyai kawalan tambahan pada skrin kedua ini. Disebabkan masalah ini juga, saya tidak dapat memanfaatkan komputer riba dengan spesifikasi hebat ini untuk bermain permainan video ketika masa lapang.
Dengan cip pemprosesan Intel Core generasi ke-12 Alder Lake yang dilihat mempunyai kuasa prestasi berkali ganda daripada Intel Core generasi ke-10 dan ke-11, harapannya ialah Asus ZenBook Duo generasi baharu kelak akan mampu memberikan prestasi yang sepatutnya.
Kamera Web
Sehingga hari ini saya kurang pasti kenapa komputer riba tidak banyak mempunyai kualiti kamera web yang baik. Majoriti masih menggunakan kamera 720p dengan saiz 1MP atau 2MP dan tidak mempunyai kualiti yang baik. Sedangkan sejak 2020 lagi sepatutnya semua komputer riba sudah sedia hadir dengan kamera web berkualiti tinggi untuk mudah penggunaan telesidang. Asus ZenBook Duo ini hanya dilengkapi kamera HD yang memaparkan kesan hingar serta video dan gambar yang kelihatan lembut.
Ini bukanlah kesalahan yang hanya dilakukan oleh Asus tetapi juga oleh Apple yang sehingga tahun lalu juga masih menggunakan kamera web HD. Saya hanya boleh berharap bermula tahun ini penggunaan kamera HD boleh dilupuskan sahaja kerana tidak selari dengan keperluan semasa.
Sudahlah kamera tidak beresolusi tinggi, audio juga kurang memuaskan. Ini secara tidak langsung merosakkan pengalaman penggunaan secara keseluruhan. Ia membuatkan peranti yang berbelas ribu ringgit ini rasa seakan tidak berbaloi apabila perlu keluarkan lagi duit untuk membeli aksesori tambahan.
Audio
Komputer riba yang bersaiz besar ini menggunakan pembesar suara stereo yang dikuasakan oleh Harman/Kardon. Sama seperti kamera web, prestasi audio juga tidak mencapai piawaian saya yang tinggi. Pada Asus ZenBook Duo speaker diletakkan di bahagian bawah dengan kekisi menembak ke sisi.
Audionya baik sahaja, cuma ia tidak sedap untuk dipadankan dengan skrin yang luas dan cantik ini. Sekali lagi, ia tidak memberikan pengguna satu pengalaman yang baik dan Asus seakan tiada alasan untuk menjual pada harga belasan ribu untuk audio yang rasa murah.
Walaupun tidak begitu tenggelam bunyinya, untuk sebuah komputer riba berharga belasan ribu saya mengharapkan ia mempunyai kemampuan audio yang lebih baik. Sebagai contoh Apple MacBook Air M1 yang bersaiz lebih kecil dan dijual pada harga lebih rendah mempunyai sistem audio yang lebih baik. Standard emas audio pada hemat saya kini dipegang oleh MacBook Pro M1 16″ yang menawarkan bukan sahaja audio yang lantang tetapi lengkap dengan spatial.
Bateri
Komputer riba bersaiz dan berkuasa seperti ini, jujur saya katakan bukanlah yang terbaik untuk digunakan tanpa pengecas. Sudah beli peranti berharga belasan ribu Ringgit, pasti kita akan cuba memanfaatkan semua ciri dan fungsi yang ditawarkan. Tetapi penggunaan dwi-skrin dengan bateri, sistem komputer riba ini tidak cukup handal untuk beroperasi tanpa kuasa tambahan.
Dalam penggunaan dwi-skrin, kedua-dua tetapan adalah resolusi 4K akan memberikan ketahanan bateri sekitar 4-5 jam sahaja. Tetapi apabila menggunakan hanya skrin utama sahaja, ia boleh bertahan sekitar 6-7 jam. Cuma penggunaan perlulah yang ringan-ringan sahaja. Itu pun saya tidak dapat memanfaatkan kuasa penuh komputer riba ini.
Sepanjang beberapa bulan penggunaan, 99% komputer riba ini sentiasa bersambung dengan pengecas 240W yang disediakan. Pengecas juga besar dan akan membuatkan beg tebal dan lebih leceh untuk di bawa ke mana sahaja. Jadi saya hanya pernah bawah pulang ke rumah sekali-dua sahaja dan selebihnya sentiasa di meja di pejabat.
Kesimpulan
Asus ZenBook Duo UX582LR memberikan satu pengalaman penggunaan yang berbeza dengan komputer riba dengan rekaan konvensional. Penggunaan dwi-skrin tidak dinafikan adalah idea yang bernas dan lebih berguna berbanding Touch Bar yang cirinya agak terhad. Skrin sekunder yang besar menjadikan tugasan harian saya di pejabat lebih efisien.
Tetapi isu yang dengan komputer riba ini terletak pada perisiannya. Prestasi hanya hebat jika skrin utama sahaja digunakan. Sedangkan tujuan komputer riba ini dicipta adalah untuk menggunakan kedua-dua skrin serentak. Dengan pelbagai isu seperti penggunaan kurang lancar dan aplikasi bermasalah, saya terpaksa hanya menggunakan satu skrin sahaja sepanjang masa untuk tidak memeningkan kepala.
Adakah harga RM12,999 ini berbaloi? Jika anda boleh bersabar dengan masalah Windows, pakej yang ditawarkan adalah amat baik sekali. Jika anda adalah seorang pengguna profesional kreatif, ini antara yang terbaik dengan syarat anda gunakan skrin utama 4K dan skrin kedua tetapkan pada resolusi rendah untuk nikmati prestasi hebat. Jika anda pengguna biasa, percayalah di luar sana ada banyak lagi pilihan yang lebih berbaloi.
PRO
- Dwi-skrin yang cerah, cantik dan amat membantu dalam tugasan harian.
- Spesifikasi hebat yang memuaskan yang boleh mengendalikan permainan video dan perisian suntingan
- Pengaliran udara yang baik untuk mengendalikan haba.
- Perisian tambahan yang amat membantu
KONTRA
- Dwi-skrin membuatkan prestasi menjadi lemah.
- Bateri tidak begitu tahan lama dan perlu sentiasa bergantung kepada pengecas.
- Kamera dan audio yang tidak begitu memuaskan dan tidak padan pada harga jualan.
- Papan kekunci dan pad sesentuh yang tidak begitu selesa untuk penggunaan jangka masa panjang.