Di CES pagi ini, Hyundai berkongsi pula visi mobiliti peribadi yang ingin mereka hasilkan di masa hadapan. Dengan modul Plug and Drive (PnD) mereka, Hyundai percaya kenderaan peribadi dengan sistem swapandu berkuasa elektik boleh direalisasikan di masa hadapan.
PnD terdiri daripada motor elektrik yang disambungkan kepada sebuah tayar yang boleh berputar 360 darjah. Apabila empat PnD disambungkan kepada sebuah platform, ia kemudian boleh menjadi tapak untuk pod pengangkutan peribadi untuk seorang penumpang lengkap dengan sistem swapandu. Pod ini kemudiannya boleh diletakkan di tepi rumah bertingkat yang kemudiannya terus ke permukaan jalan untuk melakukan perjalanan jarak pendek.
Untuk perjalanan jarak jauh, terdapat pod mobiliti induk yang memuatkan beberapa pod peribadi di dalamnya. Apabila tiba ke destinasi, pod peribadi meninggalkan pod induk untuk melengkapkan perjalanan. Modul PnD juga boleh disambungkan kepada platform lain untuk menjadi pengangkut bagasi di hotel atau kargo untuk penghantaran barang.
Setibanya di lokasi robot Spot oleh Boston Dynamic boleh mengambil alih tugas mengeluarkan barangan dari pod kargo untuk dihantar kepada pelanggan. Ini menunjukkan sinergi antara PnD dengan sistem Boston Dynamics yang diambil alih oleh Hyundai tahun lalu. Modul PnD akan ditawarkan dalam pelbagai saiz bergantung kepada tugas yang ingin dilakukan.
Dengan modul PnD, Hyundai mempunyai satu lagi platform robotik selepas MobED diperlihatkan minggu lalu dengan kemampuan memastikan platform sentiasa stabil dan satah ketika bergerak.