Cari @ Amanz

Google Fast Pair adalah jawapan Google kepada sistem tambatan pantas AirPods ke produk Apple. Tetapi ini untuk semua peranti dengan GMS. Pada awalnya ia hanya menyokong produk audio, kemudian peranti boleh pakai pertama menyokong sistem tambatan ini adalah Fitbit.

Selepas Fitbit, kemaskini antaramuka diperkenalkan dan sokongan ini dikembangkan kepada lebih 100 lagi peranti Bluetooth. Tahun lepas di acara Google I/O 2021, Google menyatakan jam Wear OS juga kelak akan menyokong tambatan pantas Fast Pair ini.

Di CES 2022, Google mengumumkan yang Google Fast Pair tidak terhad kepada peranti Bluetooth kecil atau produk audio sahaja. Fast Pair akan datang akan dikembangkan kepada Android TV/Google TV, Chromebook dan peranti-peranti berhubung Matter.

Google menjanjikan yang dalam masa beberapa minggu lagi, Chromebook akan mula menerima kemaskini sokongan Fast Pair untuk tambatan aksesori audio. Kemudian akan datang, pengguna boleh tetapkan Chromebook baru terus daripada telefon sahaja. Tahun ini juga peranti Android TV dan Google TV boleh menggunakan Fast Pair untuk menggunakan set fon kepala atau pembesar suara dengan mudah.

Google turut ingin menawarkan pengalaman seakan ekosistem Apple, dengan tambatan pantas di antara telefon dan Chromebook adalah lebih pintar. Jika satu aksesori telah ditambat pada telefon, kemudian ditambat pada Chromebook untuk hiburan – sebaik sahaja panggilan telefon masuk produk audio tadi akan automatik tambat ke telefon dan putus sambungan sementara pada Chromebook.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd