Cari @ Amanz

Ingat lagi pada NitroPhone 1? Sebuah Google Pixel 4a yang diubahsuai, mikrofon dibuang dan menjalankan custom ROM GrapheneOS. Sistem operasi Android yang diubahsuai fokus kepada sekuriti dan privasi. Ia juga dijual berlipat kali ganda mahal daripada Pixel 4a biasa yang semua fungsi ekstra ini boleh dilakukan secara percuma.

Terkini, mereka kembali lagi dengan pengganti – Nitro Phone 2 dan Nitro Phone 2 Pro. Ia adalah Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro yang turut telah diubahsuai agar lebih fokus kepada sekuriti dan privasi.

Ia tiada GMS, pin sekuriti boleh dirombak, peranti boleh dimatikan secara automatik jika dikesan tidak aktif dalam sesuatu tempoh dan ia mempunyai perlindungan penjejakan daripada IMEI, alamat MAC dan data-data dicuri. Pengguna juga boleh meminta NitroKey membuang mikrofon pada peranti jika tidak ingin audio sentiasa dirakam oleh aplikasi.

Malah, jika pengguna ingin menggunakan aplikasi-aplikasi Google – ia akan dipasang di dalam sandbox untuk perlindungan tambahan. Sama seperti sebelum ini, NitroKey memilih peranti ini kerana ia mempunyai cip sekuriti Google Titan M2. Cip sekuriti baharu ini pelbagai aspek sekuriti dan privasi untuk GrapheneOS.

NitroKey dilihat menawarkan hanya warna Stormy Black, NitroPhone 2 dengan memori 8/128 GB pada harga €899 (~RM4,271) dan NitroPhone 2 Pro dengan memori 12/128 GB pada harga €1,255 (~RM5,960).

Jika dibandingkan dengan set import Pixel 6 dan Pixel 6 Pro di Malaysia, Pixel 6 8/128 GB hanya sekitar RM3000. Manakala Pixel 6 Pro 12/128 GB sekitar RM4300. Jika anda berminat, NitroKey turut menawarkan custom ROM ini secara percuma – cuma membuang sensor, mikrofon, dan sebagainya sendiri risiko sendiri.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd