Carian
TM Kini Mengatakan Masih Tiada Tarikh Pengenalan Rangkaian 5G Untuk Pengguna Buat Masa Ini
January 16, 2022 Aman

Semalam, melalui semakan pada laman rasmi Unifi, TM telah memperlihatkan teks mengatakan rangkaian 5G boleh diuji pengguna pascabayar Unifi Mobile bermula Februari 2022 ini. Namun, kini ia nampaknya mungkin tidak akan berlaku.

Lanjutan penerbitan artikel berkenaan di Amanz, kini pihak TM telah pun mengemaskini teks pada laman mereka, selain mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan dengannya.

Menurut TM, mereka telah menerima pertanyaan berkenaan penawaran rangkaian 5G kepada pelanggan Unifi, dan kini mereka sedang giat melakukan ujian dalaman untuk perkhidmatan 5G.

Pada masa yang sama, TM mengatakan mereka tidak boleh memberikan masa tepat untuk ujian pengguna bagi rangkaian 5G. Apa pun, pihak TM mengatakan nantikan perkongsian lanjut berkenaan Unifi Mobile 5G tidak lama lagi.

Buat masa ini hanya YTL sahaja yang menawarkan rangkaian 5G menggunakan infrastruktur DNB. Selain YTL, pihak DNB telah mengatakan TM turut akan menyertai ujian rangkaian 5G, namun sehingga kini TM masih belum mengeluarkan sebarang info berkaitan penawaran mereka.

Rangkaian 5G melalui infrastruktur DNB menjanjikan kelajuan minima 100Mbps, dan kini tersedia di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan juga Putrajaya. Ia dijangka akan terus diperluaskan secara aktif pada tahun 2022 ini.

Komen