Cari @ Amanz

Realme GT Neo2 telah diumumkan dengan janaan cip Snapdragon 870. Ia berbaloi kerana cip berkenaan membawakan prestasi permua cukup memuaskan, selain turut menyokong 5G secara terbina. Untuk makluman, ia juga menjadi pilihan kami di Amanz sebagai salah satu peranti dengan nilai terbaik. Di Malaysia, ia dijual dengan harga hanya RM2,099.

Dalam perkembangan terkini, timbul desas-desus yang mengatakan spesifikasi untuk Realme GT Neo3 didakwa tertiris menerusi perkongsian di Weibo. Ia bakal menjadi model kemas kini untuk rangkaian berkenaan. Pada masa sama, perkongsian berkenaan turut memberi bayangan bahawa pelancarannya dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Menurut perkongsian tersebut, peranti dikhabarkan hadir dengan skrin yang menyokong kadar segar semula mencapai 120Hz. Panel berkenaan adalah daripada keluarga AMOLED sebesar 6.62-inci dan beresolusi FHD+. Di samping itu, Realme juga berkemungkinan besar menggunakan cip MediaTek Dimensity 8000 sebagai tunjang utama peranti. Ini selari dengan spekulasi awal yang pernah tersebar sebelum ini.

Bersama-sama dengannya, terdapat sehingga tiga pilihan untuk memori dan storan dalaman yang mungkin ditawarkan – ianya terdiri dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Lain-lain spesifikasi yang mungkin disokong termasuklah tri-kamera dengan tetapan 50MP + 50MP + 2MP, bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 65W dan menjalankan Realme UI 3.0 berasaskan Android 12.

Buat masa ini, belum ada sebarang perkongsian lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi peranti. Dalam pada itu, Realme juga belum mengeluarkan sebarang kenyataaan berhubung dakwaan ini.

Sumber : Gizmochina, Bald Panda

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd