SpaceX Dianugerahkan Kontrak RM427 Juta Membangunkan Roket Kargo Untuk Tentera

Diterbitkan pada Jan 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebelum ini kami melaporkan tentera Amerika Syarikat berminat untuk menggunakan kapal angkasa Starship oleh SpaceX bagi tujuan menghantar keperluan mereka di mana-mana lokasi dunia dengan pantas. Kini Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah menganugerahkan SpaceX kontrak bernilai $102 juta (~RM427 juta) selama lima tahun untuk menjadikan sistem penghantaran kargo ultra pantas ini menjadi realiti.

Kontrak diberikan di bawah Program Rocket Cargo Vanguard yang dimulakan oleh Air Force Research Laboratory yang diumumkan tahun lalu. SpaceX perlu melakukan ujian untuk melihat apa yang mampu dilakukan oleh roket apabila digunakan sebagai pengangkut kargo, kapasiti maksimum, kelajuan dan kos untuk menghantar kargo berbanding sistem kapal terbang pengangkut yang digunakan sekarang.

Sebelum ini USAF ada meletakkan parameter Starship perlu membawa sekurang-kurangnya kapasiti kargo yang sama dengan pesawat Boeing C-17. Sekiranya berjaya, masa penghantaran bekalan ke medan perang atau kawasan yang dilanda bencana boleh dilakukan dalam masa sejam sahaja.

Ujian prototaip Starship telah dilakukan oleh SpaceX beberapa kali tahun lalu dengan beberapa kegagalan sebelum akhirnya berjaya. Elon Musk sebelum ini mengatakan roket bumi ke bumi akan mula melakukan ujian seawal 2023.

Sumber SpaceNews

komen


© Amanz / 2022 Kami