iPhone X Dengan USB-C Dan Kalis Air Hanya Berjaya Dijual Pada Harga RM12,565

Diterbitkan pada Jan 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun lepas, seorang jurutera Ken Pillonel telah melakukan satu modifikasi terhadap iPhone X – di mana port sambungan lightning telah diubahsuai kepada USB-C. Disebabkan ramai yang benar-benar inginkan iPhone hadir dengan sambungan USB-C, iPhone X ini menjadi kegilaan ramai sehingga ia berjaya dijual pada harga RM358,000.

Namun iPhone X USB-C ini hanyalah untuk koleksi semata-mata dan bukan untuk dijadikan peranti harian. iOS tidak boleh dikemaskini, tiada sokongan perlindungan daripada air, dan banyak lagi. Hasil eksperimen Ken Pillonel turut memberi inspirasi kepada jurutera lain seperti Gernot Jobstl, yang kini turut hadir dengan iPhone X yang telah diubahsuai dengan menyertakan port USB-C. Bukan itu sahaja, iPhone X ini juga menyokong perlindungan daripada air.

Namun, ia tidak mempunyai sebarang pengiktirafan IP kerana beliau menggunakan gam tersendiri untuk memastikan iPhone tidak dimasuki air. Dalam ujian beliau, iPhone ini masih beroperasi walaupun sudah didedahkan kepada air. Tetapi seperti versi Ken, iPhone ini turut tidak menyokong pengecasan pantas, atau juga kemaskini iOS dan banyak lagi.

Eksperimen beliau ini telah diterbit sejak 13 Januari lalu. Namun, selepas disenaraikan di laman eBay untuk dibida – ia hanya terjual pada harga $3,000 iaitu sekitar RM12,565. Jelas sekali ini adalah bawah jangkaan beliau kerana versi beliau lebih hebat berbanding Ken yang dijual pada harga puluhan ribu ringgit. Mungkin kerana ia hanyalah iPhone X dan ada banyak kekurangan dan tidak begitu ramai yang inginkannya.

Selepas dua tahun kami kecewa dengan Apple yang tidak menyertakan USB-C pada iPhone, harapnya iPhone akan datang bakal hadir dengan USB-C. Jika iPad Pro dan iPad Mini boleh, apakah alasan Apple untuk tidak menyertakannya pada iPhone? Sama-sama kita berharap.

komen


© Amanz / 2022 Kami