Carian
Ulasan Samsung QN900A Neo QLED 8K TV – Adakah Neo QLED Pengganti OLED?
February 7, 2022 Fahim Zahar

QLED adalah alternatif kepada OLED yang dibangunkan oleh Samsung. Ia merupakan akronim kepada quantum dot light-emitting diode, iaitu teknologi bagi menyelesaikan masalah burn-in yang sering berlaku pada OLED. Panel yang digunakan masih lagi berasaskan panel LED, tetapi setiap komponen LED itu direka dengan konsep titik kuantum.

Namun, Samsung ada yang lebih baru iaitu Neo QLED – apa pula teknologi ini? Ia sebenarnya masih lagi menggunakan konsep yang sama, iaitu panel LED. Namun teknologi di sebalik versi ini adalah mini-LED yang jauh lebih baik. Walaupun begitu, ia masih tidak dapat menandingi OLED dengan warna hitam yang benar-benar gelap kerana LED tidak aktif.

Sejak beberapa bulan lalu, di makmal Amanz telah kami uji sebuah televisyen pintar daripada Samsung iaitu Samsung QN900A Neo QLED 8K TV. Adakah ini televisyen pintar terbaik dengan panel yang dikatakan mampu menandingi OLED? Adakah hanya skrin cantik sudah memadai, audio pula bagaimana? Ini adalah artikel ulasan bagi televisyen pintar ini.


Samsung QN900A Neo QLED 8K TV
Skrin65-inci Neo QLED, 8K
120Hz, FreeSync Premium Pro,
HDR10+, HLG
PemprosesNeo Quantum Processor 8K
Sistem OperasiTizen OS
AudioSpeaker 80W
Dolby Digital Plus/Dolby 5.1
OTS Pro
SpaceFit Sound
Sambungan4x HDMI
3x USB-A
1x Ethernet
1x Audio optikal
Bluetooth 5.0
WiFi6
eARC
Harga JualanHarga sebenar – RM24,999
Harga promosi – RM19,969

Apa Yang Patut Anda Tahu

Neo QLED adalah pengganti kepada QLED yang menawarkan paparan yang lebih baik. Ia mempunyai warna yang lebih jitu, hitam yang lebih gelap, kecerahan yang memuaskan serta pengalaman menggunakan televisyen LED yang lebih hampir dengan OLED. Samsung juga menggunakan rekaan Infinity Screen untuk pengalaman menonton nirbingkai penuh dan tidak mengganggu sudut pandangan pengguna dengan bezel tebal.

Samsung turut menggunakan cip pemprosesan tersendiri Neo Quantum Processor 8K yang boleh mengendalikan kecerdasan buatan pada sistem televisyen untuk sentiasa memaparkan paparan terbaik buat pengguna. Selain itu piawaian warna tidak terhad kepada HDR10+ sahaja, kerana teknologi Quantum HDR 64x yang digunakan dapat menjamin warna yang lebih dalam serta butiran yang terperinci termasuk tiada limpahan warna LED atau lebih dikenali sebagai blooming.

Samsung QN900A Neo QLED 8K TV ini juga hadir dengan ciri TV The Frame mereka dimana jika tidak digunakan sebagai televisyen ia boleh memaparkan imej latar belakang dalam bentuk gambar atau hasil seni terkemuka yang menarik. Tiada lagi isu TV sekadar menjadi skrin hitam ketika tidak digunakan.

Samsung juga menggunakan panel 8K sebenar dan bukannya panel 4K yang dibesarkan. Kandungan 4K akan dipertingkatkan ke resolusi 8K menerusi ciri upscaling. Televisyen ini turut hadir dengan lapisan skrin anti-silau, jadi apabila menonton tiada masalah silau jika terdedah pada cahaya matahari menerusi tingkap.

Televisyen ini turut sesuai untuk mereka yang meminati permainan video pada tetapan yang paling tinggi. Dengan wujudnya port HDMI 2.1, televisyen menyokong paparan permainan sehingga 4K 120Hz yang ditawarkan konsol Xbox Series X dan PlayStation 5. Sokongan Multi View turut dikekalkan untuk pengguna setia Samsung lebih mudah melakukan multi-tugasan dan berinteraksi dengan semua peranti Samsung termasuk Smart Things untuk rumah pintar.

Apa Yang Menarik

Tanpa membuang masa, saya terus ceritakan apa yang suka mengenai televisyen pintar 8K Samsung ini. Pertama sekali adalah skrinnya yang sangat cantik seperti yang diiklankan. Kelebihan paling ketara panel QLED berbanding OLED ialah tiada masalah burn-in – iaitu bayangan imej yang kekal selepas imej yang sama dipaparkan secara berterusan. Samsung sungguh yakin dengan isu burn-in tidak akan berlaku mereka menyertakan mod galeri yang memaparkan imej statik tanpa perlu risau berlaku kerosakan skrin.

Sepanjang tempoh penggunaan televisyen ini, ia memberikan saya pengalaman menonton video terbaik yang pernah saya nikmati. Ini merupakan televisyen pintar Samsung pertama saya, serta pertama kali saya menggunakan secara sendiri sistem operasi Tizen. Mengejutkan saya tidak mengalami sebarang masalah yang serius dan masih rasa bersyukur dapat mengujinya.

Model yang diulas adalah yang paling kecil kerana hanya sebesar 65-inci. Samsung Malaysia turut menawarkan siri ni dalam saiz 75″ dan 85″ bagi mereka yang inginkan sebuah panggung wayang 8K di rumah. Saiz ini pun saya sudah rasakan cukup besar, begitu juga dengan 75-inci pada televisyen Xiaomi sebelum ini. Saya tidak dapat bayangkan jika saiz 85-inci berada di ruang tamu saya.

Saiz 65-inci ini memberikan saiz menonton yang cukup besar untuk sebuah apartmen bersaiz sederhana. Apabila menonton kandungan bernisbah 18:9 misalnya, palang hitam di atas dan bawah tidak begitu ketara kerana ianya hitam lega tanpa kesan halo hitam kekelabuan yang dapat dilihat pada TV LED.

Ini adalah penting kerana televisyen hadir dengan ciri Super Ultra Wide Game View yang membolehkan permainan dimainkan dengan nisbah 21:9 atau 32:9. Dengan ini pemilik tidak perlu membeli monitor komputer ultra lebar seperti Samsung Odssyey Neo G9 semata-mata untuk menikmati permainan dengan FOV yang lebih memanjang.

Paling penting sekali pada hemat saya ialah kemampuan cip Neo Quantum Processor 8K melakukan upscaling kandungan yang pada asalnya tidak natif 8K. Kandungan 4K dari Netflix dapat dipaparkan cukup tajam. Malahan kandungan 1080P dari HBO GO dapat dipertingkatkan dengan senonoh dengan hingar yang minimal. Dari pengamatan saya kandungan sehingga 720P boleh dipertingkatkan ke resolusi 8K dengan baik oleh cip Neo Quantum Processor 8K ini. Jadi tiada isu skrin 8K tidak digunakan secara optimum kerana tidak banyak platform penstriman menyokong resolusi ultra tinggi ini.

Dengan sokongan HDR10+, Samsung QN900A boleh memaparkan kandungan HDR yang dinamik. Menurut Samsung panel televisyen ini boleh mencecah keterangan maksimum 1600 nits yang lebih tinggi berbanding skrin Galaxy S21 Ultra yang saya gunakan di pejabat. Skrin menjadi sangat terang sehingga seakan membakar retina. Jika prestasi HDR yang tinggi penting bagi anda, Samsung QN900A tidak mengecewakan langsung. Isu hanyalah sehingga kini Samsung hanya menyokong format HDR 10+ dan tidak menyokong format Dolby Vision.

Kedua adalah Tizen OS yang merupakan satu sistem operasi yang cukup janggal untuk saya pada awalnya kerana sudah terbiasa dengan Android TV di rumah. Tetapi selepas hanya dua hari penggunaan, saya boleh membiasakan diri dengan antaramuka dan pendekatan UX Tizen yang berbeza. Terdapat banyak aplikasi utama boleh dimuat turun dari stor aplikasi dengan Netflix dan YouTube sedia terpasang sebaik TV dikeluarkan dari kotak.

Namun begitu sehingga kini aplikasi Disney+ Hotstar tidak ditawarkan. Dalam hal ini Disney+ Hotstar yang boleh dipersalahkan kerana mereka menjanjikan aplikasi akan tiba dalam masa terdekat tetapi selepa hampir setahun tiada tarikh diberikan bilakah ia akan tiba. Penyelesaian yang sama ambil ialah menggunakan ciri Apple AirPlay dari peranti iPhone untuk menonton kandungan Disney+ di Samsung QN900A.

Seperkara di Malaysia pembantu maya yang disokong hanyalah Bixby sedangkan integrasi Google Assistant telahpun ditawarkan di pasaran lain seperti Amerika Syarikat. Saya merasakan dari segi kepintaran dan kemampuan memahami arahan suara yang diberikan Assistant masih jauh di hadapan Bixby pada waktu ini.

Televisyen ini turut boleh memaparkan skrin telefon Samsung dengan Multi View. Ia membolehkan pengguna melakukan multi-tugasan sambil menonton video secara serentak. TV ini turut boleh berfungsi sebagai hab rumah pintar untuk mengawal peranti berhubung dan produk lain di bawah ekosistem Smart Things.

Ketiga yang saya suka pada televisyen ini adalah terdapat pilihan port yang cukup mewah. Dengan 4X HDMI dan 3X USB-A 2.0 pelbagai peranti AV dan aksesori tambahan boleh disambung oleh pengguna. Salah satu port HDMI turut hadir dengan sokongan eARC membolehkan sistem audio Dolby Atmos disambung. Kesemuanya diletakkan pada kotak One Connect yang boleh disambungkan terus kepada bahagian tapak. Bagi mereka yang ingin pengurusan kabel yang lebih kemas, sistem One Connect Samsung ini akan dapat membantu menyorokkan kabel AV yang berselirat.

Seterusnya yang menarik ialah sokongan WiFi6. Mengapa menarik? Kerana untuk menstrim kandungan 8K HDR anda memerlukan sambungan internet nirwayar yang terpantas. Di pasaran masih banyak televisyen yang masih hanya menyokong WiFi 2.4 GHz. Di makmal Amanz saya dapat menstrim kandungan 8K YouTube dengan cukup lancar kerana dapat menggunakan sepenuhnya sambungan Internet paling pantas.

Alat Kawalan Jauh

Perkara terakhir yang saya rasakan menarik ialah alat kawalan jauh yang disediakan. Ia mempunyai rekaan yang ringkas dan mudah digunakan. Konfigurasi butang dan pintasan pantas adalah sama seperti yang ditemukan pada Samsung The Premiere dan Samsung Smart Monitor M7 yang diulas di Amanz sebelum ini. Sebuah butang navigasi bulat dipadankan dengan dua butang laras untuk audio dan menukar saluran TV.

Dibawahnya pula terdapat pintasan pantas untuk Netflix, Prime Video dan VieOn. Model yang diulas adalah untuk pasaran Vietnam maka oleh sebab itu VieOn diberikan sebagai pilihan ketiga. Saya tidak tahu pula apakah gantinya di Malaysia tetapi mungkin untuk melancarkan pelayar web terbina. Sebuah butang khusus untuk menyeru Bixby juga diberikan.

Rekaan alat kawalan jauh ini adalah lebih rata dan nipis jika dibandingkan dengan alat kawalan jauh Samsung yang lain. Ini adalah kerana ini alat kawalan jauh Smart Remote ini hadir dengan panel solar di bahagian belakang untuk mengecas bateri. Tiada keperluan untuk menukar bateri ia dari jenis terbina. Jika solar tidak mencukupi, terdapat port pengecasan USB-C di bahagian bawah.

Apa Yang Tidak Menarik

Untuk perkara yang pada saya bermasalah pada televisyen ini adalah, audio. Sistem audio yang digunakan dikatakan adalah daripada pemacu audio 80W dengan woofer. Ia juga menyokong Dolby Digital Plus dan Dolby 5.1 untuk pengalaman pendengaran imersif, penjejakan audio yang boleh merebakkan getaran audio atau gelombang frekuensi ke keseluruhan skrin dan juga SpaceFit Sound yang boleh secara pintar menala tetapan audio mengikut ruangan bilik pengguna.

Apabila banyak bergantung kepada kecerdasan buatan dan perisian untuk audio yang kononnya lebih imersif, kualiti pendengaran itu akan kurang. Audio yang dihasilkan pada televisyen ini adalah lemah dan tidak begitu enak di telinga saya. Pendengaran secara terus, tanpa menggunakan profil yang diperibadikan – profil lalai yang tersedia tidak begitu membantu.

Audio terasa kosong dan tidak mempunyai butiran yang menarik. Bass juga tidak begitu dalam, memberikan pengalaman menonton kandungan aksi yang tidak memuaskan. Menggunakan YouTube pula, sesetengah sampel audio yang diuji mempunyai nada tinggi yang kurang menyenangkan.

Setakat ini, pengalaman saya dengan televisyen adalah menggunakan pembesar suara daripada Sonos Beam generasi kedua. Dolby Atmos pada Beam 2 ini memberikan bass yang berdentum lebih kencang, audio yang lebih seimbang dan menjadikan pengalaman keseluruhan menggunakan televisyen ini mengasyikkan.

Kesimpulan

Harga Samsung QN900A Neo QLED 8K Smart TV ini adalah RM24,999 tetapi kini ditawarkan pada harga promosi RM19,969. Harga Neo QLED menghampiri 2.5 kali ganda daripada model Q80A QLED pada saiz sama iaitu RM8,009. Harga yang mahal ini terletak pada teknologi mini-LED serta rekaan nirbingkai yang lebih moden.

Harganya memang cukup tinggi tetapi adalah berpadanan dengan produk dengan teknologi skrin paling terkini yang ditawarkan oleh Samsung dengan kualiti visual yang berpadanan. Keterangan skrin yang tinggi membolehkan kandungan HDR benar-benar dinikmati ditambah pula dengan sokongan 8K yang akan menjadi semakin popular di masa hadapan. Jika kualiti visual yang tinggi adalah penting bagi anda, harga yang dibayar adalah berbaloi.

Kekurangan terletak pada audio yang tidak menyokong Atmos dan juga tiada sokongan format HDR Dolby Vision. Anda harus berpuas hati dengan HDR10+ sahaja pada waktu ini. Sebagai peminat visual, saya masih merasakan Dolby Vision ialah format HDR yang lebih dinamik dengan paparan warna yang lebih mantap. Kekecewaan sedikit terubat kerana terdapat sokongan AMD FreeSync dan 4K 120FPS untuk menikmati permainan video pada tetapan paling tinggi.

Bak kata pepatah untuk menikmati yang terbaik seseorang perlu berbelanja lebih. Samsung QN900A Neo QLED 8K Smart TV ialah televisyen pilihan kami bagi mereka yang mementingkan kualiti visual dan ingin panel degan resolusi tertinggi yang paling terkini di pasaran sekarang.


Pro

  • Skrin 8K dengan kualiti visual tahap mercu sebenar.
  • Kualiti HDR yang terbaik pernah diuji setakat ini.
  • Prestasi yang lancar dengan sistem mesra pengguna.
  • Rekaan premium yang turut mimik bingkai gambar.
  • Alat kawalan ergonomik dan ringkas.
  • Pilihan input yang mewah lengkap dengan AirPlay.
  • Wifi6 pada sebuah televisyen pintar.

Kontra

  • Audio kurang memberangsangkan tidak setaraf kualiti visual.
  • Masih tidak menawarkan jumlah aplikasi sebaik Android TV.
  • Masih tiada sokongan Dolby Vision.
  • Harga jualan yang agak tinggi.
Komen