SpaceX mengumumkan hasrat untuk menawarkan perkhidmatan roket bumi ke bumi pada tahun 2017 dengan sasaran ia memulakan ujian seawal 2023. Tetapi SpaceX kelak akan dicabar oleh firma China Space Transportation yang turut ingin menawarkan perkhidmatan yang sama menjelang 2025.
Space Transportation berharap sistem roket bersayap mereka akan memulakan penerbangan ujian sulung pada tahun 2023 dengan pelancaran pertama pada tahun 2024 sebelum operasi dengan krew pada tahun 2025. Seperti kapal angkasa Starship, Space Transportation ingin menawarkan perjalanan ke mana-mana destinasi di muka bumi yang hanya mengambil masa sejam sahaja. Seperti SpaceX, Space Transportation turut mempunyai impian melancarkan kenderaan angkasa ke orbit dengan sasaran ini dilakukan menjelang 2030.

Berdasarkan animasi konsep yang dikongsi di laman rasmi, dua roket peringkat pertama akan melonjakkan kenderaan angkasa dari bumi secara menegak. Kemudiannya roket peringkat kedua diaktifkan untuk ia terbang ke destinasi dengan pantas. Roket peringkat pertama kemudiannya mendarat semula ke bumi secara menegak. Kenderaan angkasa kemudian akan meluncur ke destinasi sebelum ini juga mendarat secara menegak.

Dengan China ingin menjadi kuasa besar dunia, mereka ingin menawarkan perkhidmatan yang selama ini dimonopoli oleh syarikat dari A.S. Sebelum ini CAS Space sebuah syarikat dari China turut mengumumkan mereka akan menawarkan pelancongan ke angkasa lepas seperti SpaceX dan Blue Horizon dengan sistem roket yang mirip sistem yang ditawarkan oleh dua syarikat tersebut.
Sumber Space.com