Red Magic 7 adalah peranti memfokuskan permua seterusnya daripada Red Magic. Ia akan menggantikan siri Red Magic 6 dan akan dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1. Peranti ini akan dilancarkan pada 17 Februari akan datang dan mereka sudah pun mengacah penggunaan memori 18GB RAM, kipas penyejuk terbina dengan RGB dan kelajuan sehingga 20,000 RPM dan mungkin juga kamera bawah skrin.
Terkini melalui laman Weibo rasmi Red Magic, mereka mengumumkan yang Red Magic 7 turut akan dikuasakan dengan cip tersendiri mereka Red Core No. 1 sebagai cip tambahan kepada peranti gaming baharu mereka ini. Cip ini dikatakan adalah untuk mengawal audio, RGB, getaran dan haptik, pelbagai kawalan sentuhan dan memberikan kawalan tiga dimensi pada peranti untuk pengalaman bermain permua yang lebih imersif.
Masih tidak banyak maklumat rasmi didedahkan mengenai peranti ini. Tetapi menurut laporan lepas, ia akan menggunakan skrin OLED 6.8-inci 165Hz, tri-kamera 64MP, kamera swafoto 8MP, bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas 135W, selain menggunakan panel belakang yang lutsinar.
Sama-sama kita nantikan pelancaran peranti ini dalam masa beberapa hari sahaja lagi.