Tahun lalu Xiaomi berada di belakang Samsung dan Apple dalam pegangan pasaran peranti pintar dunia. Xiaomi mencatatkan peningkatan 28% berbanding 2020 menurut laporan Canalys. Mereka segera mengambil alih ruang yang ditinggalkan oleh Huawei dengan sasaran menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia menjelang 2024.

Kini CEO Xiaomi Lei Jun menyatakan hasrat untuk mencabar Apple pula dalam pasaran peranti mercu premium menerusi muatan status Weibo beliau. Xiaomi ingin menjadi jenama teknologi tertinggi terulung dari China dalam masa tiga tahun. Apple menjadi penanda aras industri bukan sahaja dari segi produk yang dikeluarkan malahan juga pada pengalaman penggunaan.
Xiaomi mempunyai beberapa kelebihan kerana peranti mercu mereka masih lagi ditawarkan pada harga yang mampu milik berbanding Samsung, Apple dan Oppo. Di Malaysia tahun lalu 1 daripada 4 telefon di jual adalah dari jenama Xiaomi. Pada waktu yang sama ciri tambahan yang ditawarkan lebih baik berbanding pesaing seperti pengecasan yang amat pantas, skrin sekunder di bahagian belakang dan penggunaan kamera di sebalik skrin. Kekurangan pula ialah sokongan perisian masa panjang yang belum sebaik Apple dan Samsung.
Sumber SCMP