Ulasan Samsung Galaxy S22 Ultra – Note Kembali Tanpa Kompromi

Diterbitkan pada Feb 16, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung Galaxy S22 Ultra hanyalah Galaxy S pada nama tetapi sebenarnya adalah lebih layak menggunakan nama Galaxy Note22. Nama telah diubah kerana siri ini telah dihentikan tetapi pedigri peranti Note yang dibawa semula sangat menyerlah dengan penambahbaikan yang telah lama diminta oleh pengguna.

Tidak melampau untuk mengatakan semua ciri-ciri terbaik dari siri Galaxy S kini digabungkan dengan ciri Galaxy Note bagi menghasilkan peranti hibrid yang hampir tiada cela. Samsung Galaxy S22 Ultra pada hemat kami ialah peranti terbaik yang dihasilkan Samsung sejak empat tahun kebelakangan ini. Untuk mengetahui bagaimana kami boleh mengeluarkan kenyataan yang bombastik ini sila baca ulasan dari awak hingga akhir.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S22 Ultra
Skrin6.8″ Dynamic AMOLED 2X
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8/12GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama108+12+10+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9, Zum 100X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto40 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 5099 (8/128GB)
RM 5499 (12/256GB)
RM 5899 (12/512GB)

Samsung Galaxy S22 Ultra mengitar semula rekaan Galaxy Note20 Ultra yang ikonik cuma adalah sedikit lebih kecil (6.8″ vs 6.9″) namun masih lagi dari keluarga Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Skrin juga mengekalkan mod segar semula adaptif yang berubah mengikut aplikasi bagi menjimatkan bateri. Menurut Samsung skrin tahun ini lebih baik kerana mampu mencapai keterangan puncak 1750 nits yang sekitar 15% lebih terang berbanding skrin S21 Ultra.

Terang sahaja tidak memadai bagi Samsung maka sistem Vision Booster diperkenalkan bagi membolehkan skrin kelihatan lebih terang dengan warna yang tepat di bawah mentari yang terik. Skrin masih lagi melengkung pada bahagian sisi tetapi tidak terlalu melampau seperti pada Galaxy Note20 Ultra. Oleh itu isu imej melimpah keluar pada sisi skrin tidak berlaku lagi.

Skrin seperti dijangka adalah cantik, tajam, pantas dan jitu. Kandungan HDR boleh ditonton seperti mana ia dihasilkan sehingga retina mata terasa seperti akan terbakar. Penghasilan warna juga cemerlang tanpa kesan color banding sungguhpun ketika menonton kandung QHD di YouTube. Tatalan kelihatan lancar dibantu oleh sokongan 120Hz. Kecemerlangan teknologi Samsung berterusan pada Galaxy S22 Ultra tanpa perlu dirisaukan kualiti visualnya.

Kandungan HDR disokong masih lagi sehingga HDR10+ sahaja. Ini ialah format yang dibangunkan sendiri oleh Samsung bagi memaparkan kandungan HDR dengan data meta yang dinamik mengikut setiap babak. Bagi mereka yang inginkan sokongan Dolby Vision pada peranti seperti yang disokong iPhone dan Xiaomi, teruskan penantian kerana kebarangkalian ia disokong siri Galaxy adalah seperti menanti kucing bertanduk pada waktu ini.

Sebuah pengimbas cap jari optikal turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Samsung tidak mengatakan sensor diubah maka bolehlah diagak bahawa sensor yang digunakan sebelum ini dikekalkan.

Yang paling mengujakan bagi kami ialah kembalinya stylus S Pen dengan tempat simpanan dalam tubuh. Percubaan Samsung menyokong S Pen pada Galaxy S21 Ultra tahun lalu terasa seperti langkah kebelakangan kerana implementasi yang lemah. Tiada sokongan bluetooth yang membuatkan pengalaman menggunakan S Pen seperti kembali ke zaman Note 7.

Teknologi Wacom ditambah baik dengan masa pendam kini berkurangan ke 2.8ms berbanding 9ms. Proses melakar pada skrin lebih lancar seakan menggunakan pena fizikal di atas permukaan kertas.

Skrin mantap dipadankan dengan kerangka Armor Aluminium yang teguh. Teknologi yang diperkenalkan menerusi siri Z Fold3 tahun lalu kini digunakan pula pada Galaxy S22 Ultra bagi meningkatkan tahap ketahanan dari hentakan. Peranti adalah lebih tebal dan terasa lebih berat berbanding Note20 Ultra. Trend akhir-akhir ini ialah memberikan peranti bonggol yang besar sehingga berat di bahagian kepala. Isu ini tidak berlaku pada Galaxy S22 Ultra kerana ia terasa cukup seimbang.

Walaupun tubuh agak lebar, tebal dan berat peranti masih selesa di dalam telapak tangan. Ketebalannya tidak begitu terasa kerana bahagian sisi yang dibulatkan. Pada sisi kanan diletakkan butang laras audio dan kuasa yang diperbuat daripada bahan logam.

Isu besar tahun lalu adalah bonggol kamera Contour Cut Design yang menyebabkan peranti sukar diletakkan rata di atas permukaan meja. Walaupun bonggol kamera yang besar telah dilupuskan, peranti masih tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Adalah sukar untuk melakar menggunakan S Pen apabila peranti diletakkan di atas meja.

Keempat-empat lensa kamera utama yang besar juga tidak dilindungi dalam bonggol kamera. Ia lebih terdedah kepada kerosakan jika peranti terjatuh atau diletakkan di atas meja tanpa sebarang perlindungan.

Panel hadapan serta belakang menggunakan Gorilla Glass Victus+ yang dikatakan lebih tahan lasak. Kaca yang digunakan pada panel belakang ini bukan dari jenis berkilat maka tidak mengumpul kotoran dengan mudah. Kesemua isu seperti lensa terdedah, panel kaca retak dan kekotoran dapat diselesaikan dengan pembelian kerangka tahan lasak. Samsung tidak menyertakan kerangka ataupun pengecas dengan setiap pembelian maka bersedialah untuk berbelanja lebih.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat kekisi speaker, port USB-C dan talam SIM. Talam SIM hanya menyokong dua SIM bersaiz nano tanpa sokongan kad mikro SD. Selepas sudah setahun, kami sudah boleh menerima hakikat seperti bicu audio 3.5mm, sokongan kad mikro SD juga sudah dihentikan oleh Samsung. Di Malaysia storan yang ditawarkan ialah 128, 256 dan 512 GB tetapi dari pengalaman peribadi storan 256GB kini boleh habis digunakan dalam masa dua tahun. Jadi pilihan storan yang serasi dengan keperluan peribadi anda perlu dilakukan semasa peranti dibeli.

Dari segi spesifikasi Galaxy S22 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Selepas bertahun-tahun diminta oleh pengguna di Malaysia, Samsung akur dan tidak menawarkan versi Exynos 2200. Ironi di sini ialah setelah sekian lama pengguna Malaysia meminta cip Snapdragon, tahun dimana cip Exynos dengan GPU yang dinantikan ramai Samsung berubah haluan.

Cip untuk Android paling berkuasa dipadankan dengan 8/12 GB RAM dan storan sehingga 512GB. Tiada lagi varian dengan 16GB. Bagi mereka yang merasakan penawaran RAM mungkin tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah sehingga 8GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan dengan mengambil ruang storan peranti.

Tiada perubahan pada saiz sensor kamera tahun ini. Sensor 108MP dipadankan dengan lensa sudut lebar, 12MP dengan lensa ultra sudut lebar, 10 MP dengan lensa telefoto optikal 3X dan 10MP lagi dengan lensa telefoto 10X optikal periskop yang menyokong zum sehingga 100X Space Zoom. Kamera swafoto juga dikekalkan dengan sensor 40MP. Saiz sensor mungkin kelihatan sama tetapi sebenarnya ditambah baik dengan penggunaan sensor ISOCELL yang dilengkapi saiz sensor lebih besar bagi meningkatkan prestasi fotografi waktu malam.

Seterusnya kita bergerak pula kepada bateri sebesar 5000 mAh yang adalah sesuatu yang baru bagi peranti yang menggunakan rekaan Galaxy Note. Selama ini saiz bateri dihadkan kerana tidak ruang untuk bateri lebih besar. Misteri mengapa Galaxy S22 Ultra lebih tebal berbanding Galaxy Note20 Ultra dan Galaxy S21 Ultra terjawab.

Tidak berakhir di sini ialah peranti menyokong pengecasan 45W yang pantas. Masih belum sepantas yang ditawarkan Oppo atau Xiaomi tetapi ia masih lebih baik berbandingan hanya 25W tahun lalu. Seperti tahun lalu juga pengecas tidak disertakan dengan pembelian. Hanya kabel USB-C ke USB-C dan pin talam SIM disertakan tahun ini dengan kotak yang semakin nipis.

Pengecasan nirwayar ialah sehingga 15W dengan pengesan berbalik peranti lain Wireless PowerShare pula juga kembali. Terdapat usaha dari Samsung untuk menawarkan pengecasan lebih pantas tetapi hakikatnya ia masih tidak setanding yang ditawarkan oleh Oppo dan Xiaomi.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.2, kesemua sistem GPS di muka bumi dan ketahanan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G Sub 6GHz juga disokong dan akhirnya boleh digunakan dengan 5G kini mula ditawarkan di Malaysia walaupun masih terhad.


Penggunaan Dan Perisian

Android 12 dipadankan dengan pelancar One UI 4.1. Tidak ada banyak misteri mengenai antaramuka ini kerana ia sama seperti yang diterima Galaxy S21 Ultra dan Z Fold3 sejak Disember tahun lalu. Tiada perubahan drastik dilakukan kerana One UI 4.1 lebih menumpukan kepada penambahan ciri dan bukannya olahan semula antaramuka sistem operasi.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis dan kemas. Apa yang dapat dilihat pada kesemua pelancar pihak ketiga pengeluar Android sejak dua tahun kebelakangan ini ialah rekaan yang semakin mirip kepada Android Asli. Ini dilakukan bagi mempercepatkan kemas kini diberikan kepada peranti. Dapat dilihat tahun lalu Samsung sangat pantas memberikan kemas kini Android dan tampalan sekuriti.

Bermula tahun mereka maju setapak lagi kerana Samsung akan memberikan kemas kini versi Android sehingga empat tahun dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun buat pertamanya kalinya dalam sejarah. Apa yang dilakukan oleh Samsung adalah lebih baik dari Google pada peranti Pixel yang hanya disokong sehingga tiga versi Android dan tampalan sekuriti sehingga empat tahun.

Dengan peranti semakin mahal, sokongan kemas kini yang setanding yang diberikan Apple adalah amat perlu pada Android. Selepas bertahun menanti, tidak disangka Samsung yang menjadi syarikat pengeluar Android pertama yang menawarkannya.

Ciri lain yang menarik yang hadir dengan One UI 4.1 ialah kustomasi yang lebih baik untuk tema dan ikon peranti. Berdasarkan imej latar belakang yang digunakan, peranti akan memberikan saranan warna yang digunakan pada ikon aplikasi dan warna tema antaramuka. Pilihan widget juga ditambah baik supaya lebih berguna.


Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan aplikasi Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah agak menarik. Dalam ujian Geekbench 5 perbezaan markah adalah tidak begitu ketara berbanding Snapdragon 888. Sandprag

Snapdragon 8 Gen 1 mencatatkan 1217 markah dalam ujian satu teras dan 3360 markah dalam ujian multi teras yang tidaklah jauh berbeza dengan Snapdragon 888 (1122/3412) tetapi masih di belakang Apple A15 Bionic (1716/4678). Dalam ujian Antutu 3D pula Snapdragon 8 Gen 1 mencatatkan 917,034 markah yang jauh di hadapan Snapdragon 888 (747,436) dan Apple A15 Bionic (789,647).


S Pen

Stylus kali ini kembali pendek kerana perlu disimpan di dalam tubuh peranti. Mekanisme spring yang wujud sejak Galaxy Note 5 dikembalikan untuk memudahkan ia dikeluarkan dari tempat simpanan. mbali Saiznya masih sama dengan yang digunakan sejak sekian lama. Ia kembali boleh ditambat secara bluetooth yang membolehkan ia digunakan untuk mengawal kamera, kawalan peranti dan aplikasi menerusi ciri Air Action.

Kesemua ciri menarik S Pen yang diperkenalkan pada peranti terdahulu kembali. Tahap pengesanan mata pena masih lagi sehingga 4200 tahap tekanan tetapi kini terasa lebih pantas serta jitu kerana masa pendam bawah 3 ms.

Perubahan pada perisian pula ialah kemampuan mengesan tulisan tangan untuk diubah kepada teks dengan sokongan lebih 80 bahasa. S Pen turut menjadi lebih berguna kerana ciri mengubah tulisan tangan kepada teks kini boleh digunakan pada kesemua aplikasi tanpa perlu menekan butang “Handwriting to text” terlebih dahulu pada Samsung Keyboard.


Telefoni dan GPS

Terdapat sokongan rangkaian 5G tetapi tidak mampu diuji kerana peranti Samsung masih belum disokong oleh DNB. Samsung berkongsi nasib dengan Apple sebagai antara pengeluar peranti 5G yang masih belum mampu menikmati rangkaian telekomunikasi generasi terkini Malaysia.

This image has an empty alt attribute; its file name is Galaxy-S22-Ultra-J.jpg

Panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE dan panggilan menggunakan WiFi kualiti panggilan kami rasakan adalah lebih baik dan jelas. Sokongan untuk dwi SIM disertakan tapi hanya satu fizikal bersaiz nano dan satu lagi dalam bentuk eSIM.

Prestasi GPS juga amat pantas seperti peranti Samsung mercu lain yang diuji sebelum ini. Aplikasi Waze dan Maps apabila digunakan dapat menjejak lokasi kenderaan dalam masa kurang dua saat. Ketika memandu pula tiada isu secara tiba-tiba kehilangan isyarat atau lokasi yang salah ditunjukkan dalam aplikasi. Sebagai telefon ialah bagus sebagai peranti GPS ia cemerlang.


Kamera

Di atas kertas tiada perubahan dilakukan pada sistem kamera dengan pengekalan sensor 108MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar, 10MP 3X zum optikal dan 10MP 10X zum optikal. Di hadapan pula sensor 40MP turut dikitar semula sama seperti yang digunakan pada Galaxy S21 Ultra. Penambahbaikan diberikan kepada sensor dengan kemampuan nona-binning yang menggabungkan 9 pixel menjadi satu supaya gambar kelihatan lebih tajam serta terang serta sistem penstabilan optikal OIS yang boleh bergerak 54% lebih jauh untuk menyerap getaran dengan lebih baik.

Tetapi tumpuan utama Samsung tahun ini ialah mod malam yang lebih baik dengan ciri Nightography. Gambar mod malam lebih terang menggunakan semua kamera dijanjikan tahun ini. Bagi memperkasakan lagi pengguna, aplikasi Expert RAW turut diberikan dengan kawalan pelbagai tetapan kamera secara lebih terperinci.

Tetapi adakah janji sebaik realiti? Dalam majoriti kes dapat dilihat peningkatan ketajaman dan warna pada gambar Galaxy S22 Ultra berbanding Galaxy S21 Ultra. Hasil lebih memuaskan dalam situasi pencahayaan yang baik. Mod potret yang diuar-uarkan memang lebih baik tetapi tidak berfungsi 100%. Masih wujud isu objek tidak dapat dipisahkan dari latar belakang dengan sempurna. Dalam situasi ini peranti Google Pixel masih mempunyai kelebihan.

Perubahan yang dilakukan mungkin kecil tetapi inilah hakikat teknologi kamera pada telefon pintar pada tahun 2022. Tiada lagi penambahbaikan yang besar boleh dilakukan kerana had teknologi semasa. Jika dibandingkan dengan iPhone 13 Pro Max dan Galaxy S21 Ultra, kemampuan kamera Galaxy S22 Ultra tidak mengecewakan langsung.

Berikut pula adalah sampel gambar pada tetapan zum 1X, 3X, 10X, 30X dan 100X. Kualiti gambar adalah masih memuaskan sehingga 30X. Viewfinder masih boleh digunakan dengan mudah kerana OIS memastikan objek yang ingin diambil gambarnya sentiasa stabil dan tidak terlalu terumbang-ambing.

Ciri Space Zoom sehingga 100X adalah menarik tetapi dalam dunia sebenar kami tidak tahu berapa kerap ia akan digunakan atau sama ada ia sesuatu yang praktikal. Tetapi kemampuan kamera Galaxy S22 Ultra yang masih boleh mengambil gambar yang tajam sehingga 10X harus dipuji. Dengan mudha mengatasi kemampuan kamera pada iPhone 13 Pro Max.


Bateri

Harapan kami untuk ketahanan bateri adalah tinggi kerana sebesar 5000 mAh. Dalam penggunaan berat tanpa WiFi peranti mencatatkan SOT 8.5 jam dan tempoh penggunaan keseluruhan hampir 14 jam. Situasi bateri menjadi sedikit lebih baik dalam penggunaan sederhana dengan SOT juga 8.5 jam tetapi peranti mampu bertahan lebih 24 jam. Hayat bateri yang baik bagi sebuah peranti mercu tetapi masih di belakang iPhone 13 Pro Max yang mencatatkan SOT 13 jam dan hanya perlu dicas 36 jam sekali dalam penggunaan sederhana.

Tempoh mengecas semula mengambil masa 65 minit menggunakan pengecas 25W yang kami miliki. Pengecas tidak diberikan dengan setiap pembelian dan Samsung hanya memberikan kabel USB-C ke USB-C. Ujian pengecas 45 tidak sempat dilakukan kerana kesuntukan masa dan tidak memiliki pengecas yang dijual pada harga premium. Peranti turut boleh dicas semula secara nirwayar tetapi dengan sokongan sehingga 15W sahaja, tempoh pengecasannya pasti lebih panjang.


Audio

Terdapat speaker stereo yang menyokong audio Dolby Atmos. Speaker fizikalnya lantas tetapi audio tidak seimbang kerana satu menembak ke hadapan dan satu lagi ke sisi. Pada kelantangan tertinggi audio tidak pecah tepi mula berkecamuk. Pengalaman audio yang lebih baik dapat dinikmati menggunakan aksesori audio yang menyokong codec LDAC. Sungguhpun tubuh S22 Ultra adalah besar, bicu audio tidak disertakan. Galaxy Z Fold3 kekal sebagai ‘telefon pintar’ dengan audio yang terbaik pernah kami ulas setakat ini.


Pesaing

Samsung Galaxy S22 Ultra Apple iPhone 13 Pro MaxXiaomi 12 Pro
6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3080, 120Hz, HDR10+, (500 ppi)6.7″ Super Retina XDR OLED, 11284 x 2778, 120Hz, Dolby Vision, (458 ppi)6.73″ OLED, 1440 x 3200, 120Hz, Dolby Vision, (521 ppi)
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Apple A15 Bionic (5nm)
2 X ? GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Apple GPU 5 TerasAdreno 730
8/12 GB LPDRR56 GB8/12 GB LPDDR5
128/256/512 GB UFS 3.1
128/256/512/1000 GB NVMe

128/256 UFS 3.1
Kamera Utama
108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/4.9+f/2.4) OIS
Kamera Utama
12+12+12 Megapixel (f/1.5+f/1.8+f/2.8), 3D ToF, IBIS
Kamera Utama
50+50+50 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/1.9) OIS
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel
IP68IP68Tiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 45W)4352 mAh (Berwayar 20W)4600 mAh (Berwayar 67W)
Harga bermula RM 5099Harga bermula RM5299Harga bermula RM3084*

Kesimpulan

Samsung Galaxy S22 Ultra menggabungkan ciri-ciri terbaik siri Galaxy S22 dengan ciri yang paling diperlukan dari siri Galaxy Note. Hasilnya ialah sebuah peranti hibrid yang memenuhi keperluan peminat fotografi tegar, pencinta permua dan insan yang ingin peranti yang boleh meningkatkan produktiviti di luar pejabat. Hampir semua aspek peranti adalah sempurna kerana tiada kompromi dilakukan oleh Samsung bagi melayakkan Galaxy S22 Ultra menjadi antara peranti terbaik 2022.

Sebagai peminat siri Note sejak sekian lama, Galaxy S22 Ultra mengubat kekecewaan peranti dibatalkan oleh Samsung tahun lalu. Nama mungkin telah berubah tetapi kita semua tahun Borhan ialah Keluang Man, Peter Parker ialah Spider-Man dan Galaxy S22 Ultra sebenarnya ialah Galaxy Note22 Ultra. Oleh itu bagi mereka yang ingin menggantikan peranti Note yang sudah berusia, Galaxy S22 Ultra kami sarankan kepada anda kerana raja peranti telah kembali.

Pro

  • Rekaan klasik Galaxy Note kembali tetapi tanpa bonggol besar.
  • Snapdragon 8 Gen 1 digunakan mengikut permintaan ramai.
  • Peranti masih selesa walaupun tubuh lebih besar dan tebal.
  • S Pen kembali dengan tempat simpanan terbina.
  • Pengecasan pantas sehingga 45W disokong.
  • Sokongan Android empat versi dan sekuriti lima tahun.

Kontra

  • Lensa kamera lebih terdedah kepada kerosakan.
  • Slot mikro SD tidak dikembalikan.
  • Pengecas tidak disertakan dan masih sepantas pesaing.

komen


© Amanz / 2022 Kami