Carian
Ulasan Samsung Galaxy S22+ – Pilihan Tepat Untuk Selamat
February 22, 2022 Effi Saharudin

Apabila tiga peranti dilancarkan serentak, persoalan di kalangan pengguna ialah yang mana satu idaman kalbu dan yang mana satu pilihan paling tepat. Dalam dunia nircela, semua orang akan membeli peranti dengan spesifikasi yang terbaik kerana memang ia yang terbaik. Namun begitu duit tidak turun dari langit seperti permintaan dikabulkan si pari-pari. Oleh itu pengguna perlu bijak dengan melakukan pembelian peranti yang lebih tepat dan selamat mengikut keperluan peribadi. Tanpa perlu bermadah, Samsung Galaxy S22+ ialah pilihan yang paling selamat di antara tiga peranti siri S22 yang dilancarkan tempoh hari. Ulasan kini cuba menjawab persoalan kedua pula iaitu sama ada ia pilihan yang tepat.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S22+
Skrin6.6″ Dynamic AMOLED 2X
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50+12+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4, Zum 30X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto10 Megapixel f/2.2
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 4099 (8/128GB)
RM 4299 (8/256GB)

Skrin

Jika S22 Ultra mengitar semula rekaan Note20 Ultra, S22+ mengitar semula rekaan S21+. Skrin masih lagi rata dengan lubang kamera yang kecil di tengah-tengah. Panel masih dari keluarga Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula mencecah 120Hz. Nama mungkin sama tetapi panel S22+ mempunyai julat segar semula yang lebih kecil berbanding S22 Ultra. Bezel adalah sama tebal pada keempat-empat sisi dan kelihatan cukup simetri.

Terdapat sistem Vision Booster untuk menerangkan lagi skrin di bawah cahaya matahari yang terik di Malaysia dan juga sokongan HDR10+. Samsung mengekalkan format HDR10+ sahaja untuk sekian kalinya tanpa sokongan Dolby Vision yang memerlukan lesen dibayar.

Walaupun di atas kertas spesifikasi skrin S22+ adalah tidak sebaik S22 Ultra, kami tidak menemukan sebarang perbezaan ketara dalam penggunaan harian. Skrin lancar dan pantas serta memaparkan warna yang baik serta sekata. Tiada isu color banding atau kelihatan aneh sepanjang tempoh ulasan. Penggunaan skrin rata adalah tepat kerana kandungan terpapar dengan baik tanpa limpahan ke sisi.

Sebuah pengimbas cap jari optikal diletakkan di bawah skrin. Kedudukan pengimbas cap jari adalah agak tinggi yang memudahkan proses menyahkunci peranti. Dengan pandemik masih mengganas, sokongan pengimbas cap jari yang mudah digunakan amat diperlukan. Bagi yang mungkin inginkan sistem biometri yang lain, imbasan wajah disertakan dan ia berfungsi pantas dalam keadaan terang. Tetapi tanp pemancar IR, sistem ini tidak berfungsi dengan baik dalam keadaan gelap.

Satu lagi perubahan antara S22+ dan S22 Ultra ialah skrin hanya menyokong resolusi FHD+ sahaja yang tidak boleh diubah berbanding WQHD+ pada Ultra. Pada waktu yang sama peranti juga tidak menyokong stylus S Pen yang masih eksklusif pada siri Ultra sahaja untuk dua tahun berturut-turut.

Spesifikasi

Snapdragon 8 Gen 1 ditawarkan di Malaysia tahun ini yang merupakan perubahan besar daripada penggunaan cip Exynos selama ini. Tekanan yang diberikan pengguna sejak sekian tahun berjaya memaksa Samsung untuk melakukan perubahan yang diinginkan. Ini adalah cip terbaik untuk peranti Android setakat ini dengan penggunaan teknologi 4nm dan dilengkapi lapan teras. Cip meruc dipadankan dengan 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Jika jumlah RAM dirasakan tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah sehingga 8GB RAM lagi secara maya. Secara teorinya S22+ boleh menggunakan sehingga 16GB RAM.

Rekaan bonggol kamera mungkin dikitar semula tetapi konfigurasi kamera telah diubah dengan drastik.Sensor 50MP dengan sensor sudut lebar, 12MP dengan lensa ultra sudut lebar dan 10MP dengan telefoto optikal 3X digunakan tahun ini. Lensa sudut lebar dan ultra lebar hadir dengan sokongan OIS yang dipertingkatkan. Bagi yang memerlukan kemampuan zum yang tinggi, kamera boleh melalukan zum sehingga 30X secara digital. Kemampuan ini setanding dengan salah satu lensa kamera pada S22 Ultra. Di hadapan pula terdapat kamera 10MP yang diletakkan dalam sebuah lubang kamera.

Membekalkan kuasa ialah bateri berkapasiti 4500 mAh degan sokongan pengecasan sehingga 45W, nirwayar pula sehingga 15W dan pengesan berbalik peranti lain Wireless PowerShare. Seperti tahun lalu, pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian. Hanya kabel USB-C ke USB-C dan pin talam SIM disertakan.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.2, kesemua sistem GPS di muka bumi dan ketahanan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G Sub 6GHz juga disokong dan akhirnya boleh digunakan dengan 5G kini mula ditawarkan di Malaysia walaupun masih terhad.

Rekaan

Tubuh lebih tahan lasak menerusi penggunaan Armor Aluminium yang sebelum ini digunakan pada Z Fold3. Panel polikarbonat yang menjadi sumber cemuhan tahun lalu digantikan dengan panel Gorilla Victus+ yang juga tahan lasak. Peranti bukan sahaja kelihatan lebih premium tetapi juga sedap di dalam tangan. Kerangka S22+ mempunyai sisi yang tidak begitu dibulatkan. Ia mempunyai kemasan dan perasan dalam tangan yang mengingatkan kami kepada iPhone 11 Pro Max.

Rekaan bonggol Contour Cut Design juga dikekalkan. Bongkah bonggol yang besar ini melindungi lensa kamera dari sebarang hentakan dan tercalar dengan mudah. Ia mungkin besar dari segi saiz tetapi tidak begitu tinggi. Peranti masih boleh diletakkan rata di atas meja dengan kesan jongkang-jongket yang tidak begitu teruk. Peranti juga menyebarkan berat dengan seimbang walapun mempunyai bonggol logam yang besar.

Peranti nampak cukup seksi lebih-lebih lagi dalam warna Phantom White yang membuatkan ia kelihatan seperti diperbuat daripada bongkah marmar yang mewah. Satu lagi perkara yang menarik ialah panel belakang tidak memerangkap kotoran dengan baik kerana kemasan yang tidak berkilat. Terasa agak merugikan peranti ini perlu disorokkan di belakang kerangka kerana ia adalah sangat cantik dipandang.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat kekisi speaker, port USB-C dan talam SIM. Talam SIM hanya menyokong satu SIM bersaiz nano dengan satu lagi e-SIM dalaman tanpa sokongan kad mikro SD. Selepas sudah setahun, kami sudah boleh menerima hakikat seperti bicu audio 3.5mm, sokongan kad mikro SD juga sudah dihentikan oleh Samsung. Di Malaysia storan yang ditawarkan ialah 128 dan 256 GB yang kami rasakan agak kecil untuk penggunaan masa panjang.


Penggunaan Dan Perisian

Android 12 dipadankan dengan pelancar One UI 4.1 tidak banyak bezanya dengan One UI 4.0 yang telah diberikan kepada banyak peranti Samsung tahun lalu. Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, kemas dan ergonomik. Penawaran warna pastel tidak menyakitkan mata. Apa yang dapat dilihat pada kesemua pelancar pihak ketiga pengeluar Android sejak dua tahun kebelakangan ini ialah rekaan yang semakin mirip kepada Android Asli. Ini dilakukan bagi mempercepatkan kemas kini diberikan kepada peranti yang merupakan strategi Samsung untuk menarik minat pengguna. S22+ akan menerima sokongan empat generasi Android dan lima tahun tampalan sekuriti yang tidak ditawarkan pengeluar lain.

Dengan harga jualan peranti yang semakin meningkat, sokongan kemas kini yang setanding yang diberikan Apple adalah perlu pada Android. Selepas bertahun menanti, tidak disangka Samsung yang menjadi syarikat pengeluar Android pertama yang menawarkannya dan bukannya Google.

Ciri lain yang menarik yang hadir dengan One UI 4.1 ialah kustomasi yang lebih baik untuk tema dan ikon peranti. Berdasarkan imej latar belakang yang digunakan, peranti akan memberikan saranan warna yang digunakan pada ikon aplikasi dan warna tema antaramuka. Pilihan widget juga ditambah baik supaya lebih berguna.


Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan aplikasi Geekbench 5 ialah 1215 markah dalam satu teras dan 3354 markah dalam multi teras. Sementara dalam ujian Antutu 3D pula ialah 888,633 markah. Markah Geekbench setanding dengan yang dicatatkan pada S22 Ultra tetapi lebih rendah pula dalam ujian Antutu 3D. Markah Geekbench 5 masih di belakang Apple A15 Bionic (1716/4678) tetapi di lebih baik dalam Antutu 3D (789,647).

Ujian penanda aras adalah sekadar sintetik tetapi tiada perbezaan dapat kami rasakan antara S22 Ultra dan S22+. Kedua-duanya terasa pantas, lancar dan tanpa sebarang isu sepanjang tempoh ulasan. Pelbagai permua tahap mercu seperti Genshin Impact, Asphalt 9, COD Mobile dan PUBG Mobile boleh dimainkan pada tetapan paling tinggi. Peranti hanya menjadi sedikit panas selepas sesi permainan yang panjang tetapi ini semua masih setara dengan pengalaman menggunakan iPhone 13 Phone dan S22 Ultra.



Telefoni dan GPS

Terdapat sokongan rangkaian 5G tetapi tidak mampu diuji kerana peranti Samsung masih belum disokong oleh DNB. Samsung berkongsi nasib dengan Apple sebagai antara pengeluar peranti 5G yang masih belum mampu menikmati rangkaian telekomunikasi generasi terkini Malaysia.

This image has an empty alt attribute; its file name is Galaxy-S22-Ultra-J.jpg

Panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE dan panggilan menggunakan WiFi kualiti panggilan kami rasakan adalah lebih baik dan jelas. Sokongan untuk dwi SIM disertakan tapi hanya satu fizikal bersaiz nano dan satu lagi dalam bentuk eSIM.

Prestasi GPS juga amat pantas seperti peranti Samsung mercu lain yang diuji sebelum ini. Aplikasi Waze dan Maps apabila digunakan dapat menjejak lokasi kenderaan dalam masa kurang dua saat. Ketika memandu pula tiada isu secara tiba-tiba kehilangan isyarat atau lokasi yang salah ditunjukkan dalam aplikasi. Sebagai telefon ialah bagus sebagai peranti GPS ia cemerlang.


Kamera

Sistem tri kamera menggunakan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 10MP yang menyokong zum optikal sehingga 3X sahaja. Tiada sistem zum periskop dan had zum digital adalah sehingga 30X. Kamera mudah digunakan kerana sistem kecerdasan Samsung memilih tetapan yang paling sesuai mengikut situasi.

Bagi yang memerlukan aplikasi kamera yang lebih profesional, Expert RAW boleh digunakan kerana ia hadir dengan kawalan kamera yang lebih terperinci. Seperti kesemua aplikasi kamera pada peranti mercu Samsung terdahulu, terdapat ciri tambahan Single Take, mod malam, potret, panorama dan video dalam mod potret. Kesan bokeh adalah baik tetapi masih jelas dilakukan menggunakan perisian dan bukannya menerusi lensa. Nampak agak sintetik.

Isu kamera memanas masih lagi berterusan. Dengan setiap aplikasi kamera moden menggunakan sistem pascaproses pada setiap gambar, peranti menjadi panas selepas mengambil beberapa gambar kini adalah lumrah pada platform Android dan iOS. Perkara positif ialah tahap kepanasan tidak melampau dan kamera tidak pernah memberikan amaran terhenti kerana suhu terlalu tinggi.

Dari segi kemampuan kamera, gambar yang diambil menggunakan kamera S22+ adalah memuaskan untuk sebuah peranti mercu. Ianya terang, tajam dan tidak mempunyai masalah hingar yang ketara. Dalam situasi pencahayaan yang baik penghasilan semua warna adalah amat baik. Warna kelihatan hidup dan menyamai situasi sebenar.

Gambar tidak setajam S22 Ultra kerana tiada sistem nona-binning yang menggabungkan 9 pixel menjadi satu. Pada S22+ hanya quad-binning sahaja disokong. Gambar kelihatan kurang tajam sedikit jika dibandingkan dengan S22 Ultra. Satu lagi perbezaan ialah prestasi mod malam. Masih terdapat sedikit hingar apabila gambar diambil menggunakan mod malam.

Mod swafoto jug memuaskan dengan peranti boleh membezakan subjek dari latar belakang sungguhkan menerusi kamera swafoto.

Mod zum pula adalah hanya memuaskan sehingga 10x sahaja. Melangkaui tahap ini gambar mula kelihatan agak pecah, lembut dan warna kelihatan kusam. Di bawah ialah sampel zum pada tetapan 0.6X, 1X, 3X dan 10X.


Bateri

Dalam penggunaan yang sederhana peranti mampu bertahan hampir 17 jam dengan SOT hampir 7 jam yang sebenarnya adalah agak baik untuk bateri berkapasiti 3500 mAh. Dalam penggunaan yang lebih konservatif, peranti boleh bertahan melebihi 28 jam. Tempoh pengecasan semula adalah sekitar 60 minit menggunakan pengecasan 45 minit yang tidak perlahan tetapi tidak begitu pantas.

Kami tidak mampu melakukan pengecas 45W kerana tidak Samsung tidak menawarkannya dengan unit yang diulas. Berdasarkan laporan ia hanya beberapa minit sahaja lebih pantas berbanding 25W. Samsung belum bersedia menawarkan pengecasan yang lebih pantas sedangkan Xiaomi sudahpun memperlihatkan teknologi 200W.


Audio

Terdapat speaker stereo yang menyokong audio Dolby Atmos. Speaker fizikalnya lantas tetapi audio tidak seimbang kerana satu menembak ke hadapan dan satu lagi ke sisi. Pada kelantangan tertinggi audio tidak pecah tepi mula berkecamuk. Pengalaman audio yang lebih baik dapat dinikmati menggunakan aksesori audio yang menyokong codec LDAC. Ianya cukup baik bagi sebuah peranti mercu lebih-lebih lagi jika pengguna mempunyai peralatan audio yang setara dengan yang mampu ditawarkan S22+.


Pesaing

Samsung Galaxy S22+Apple iPhone 13Xiaomi 12
6.6″ Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2340, 120Hz, HDR10+, (390 ppi)6.1″ Super Retina XDR OLED, 1170 x 2532, 60Hz, Dolby Vision, (460 ppi)6.28″ OLED, 1080 x 2532, 120Hz, Dolby Vision, (460 ppi)
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Apple A15 Bionic (5nm)
2 X 3.2 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Apple GPU 5 TerasAdreno 730
8 LPDRR54 GB8/12 GB LPDDR5
128/256 GB UFS 3.1
128/256/512 GB NVMe

128/256 UFS 3.1
Kamera Utama
50+12+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/4.9+) OIS
Kamera Utama
12+12 Megapixel (f/1.6+f/2.4), Sensor Shift
Kamera Utama
50+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4) OIS
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel
IP68IP68Tiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4500 mAh (Berwayar 45W)3240 mAh (Berwayar 23W)4500 mAh (Berwayar 67W)
Harga bermula RM 4099Harga bermula RM3899Harga bermula RM2428*

Kesimpulan

Bagi mereka yang mencari peranti yang boleh digunakan untuk tempoh yang lama, Samsung Galaxy S22+ ialah pilihan yang tepat serta selamat. Selamat kerana sokongan sistem operasi sehingga empat tahun dan sekuriti sehingga lima tahun yang merupakan terbaik pada platform Android. Ia turut tepat bagi mereka yang mencari peranti yang berkuasa serta boleh bertahan kerana ciri RAM Plus mampu meningkatkan RAM ke tahap 16GB jika diperlukan.

Tiada isu memainkan aplikasi biasa ataupun permua yang memerlukan kuasa memproses grafik yang tinggi. Ini dipadankan pula dengan rekaan yang cantik, tahan lasak serta kalis air. Prestasi kamera juga tidak mengecewakan. Pada harga jualan bermula RM4099, ia mungkin agak mahal tetapi hadir dengan jaminan ia disokong lebih lama berbanding majoriti peranti Android lain di pasaran.

Pro

  • Snapdragon 8 Gen 1 digunakan mengikut permintaan ramai.
  • Rekaan yang premium, selesa, tahan lasak dan kalis air.
  • Pengecasan pantas sehingga 45W disokong.
  • Sokongan Android empat versi dan sekuriti lima tahun.
  • Kemampuan fotografi yang memuaskan.

Kontra

  • Tiada slot kad mikro SD
  • Pengecas tidak disertakan dan tidak sepantas pesaing.
  • Menjadi sedikit hangat pasca sesi permua yang panjang.

Komen