Imej Rasmi Nubia Z40 Pro Didedahkan – Hadir Dengan Bonggol Kamera Gergasi

Diterbitkan pada Feb 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebuah lagi peranti yang dijana Snapdragon 8 Gen 1 akan dilancarkan pada 25 Februari kelak di China. Peranti ini adalah daripada Nubia, iaitu Nubia Z40 Pro. Peranti ini dikatakan akan hadir dengan sistem penyejukan dengan bahan binaan bertaraf aeroangkasa, menggunakan lensa kamera dengan panjang fokus kanta mimik lensa 35mm melalui sensor Sony IMX787 dan banyak lagi perkara menarik akan ditawarkan.

Baru-baru ini Nubia di China telah mendedahkan imej sebenar peranti. Ia dilihat hadir dengan skrin melengkung dengan lubang untuk kamera swafoto dan juga konfigurasi tri-kamera dengan saiz modul gergasi.

Peranti ini turut dikhabarkan akan hadir dengan memori 16GB RAM, menyokong pengecasan pantas 120W tanpa pengecas di dalam kotak, menggunakan sistem pengecasan magnetik seakan MagSafe daripada Apple dan sekali lagi akan memfokuskan kepada fotografi dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan.

Rekaan peranti kelihatan ringkas dan menarik, ia juga tampak nipis dengan bahagian atas dan bawah rata. Sedikit berbeza dengan apa yang pesaing gunakan sekarang. Maklumat lanjut mengenai peranti ini hanya akan didedahkan pada 25 Februari nanti. Sama-sama kita nantikan.

komen


© Amanz / 2022 Kami