Cari @ Amanz

Oppo merupakan sebuah jenama yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Jenama peranti pintar daripada China tersebut cukup terkenal untuk penawaran pelbagai jenis peranti yang hadir pada tanda harga mampu milik, kelas pertengahan sehinggalah tahap premium, dan secara lazimnya hadir dengan ciri-ciri yang membuatkan setiap siri peranti itu unik dan sedikit lain daripada yang lain.

Oppo Reno7 5G merupakan di antara peranti terbaru yang dilancarkan oleh Oppo, dan sama seperti peranti siri Reno yang lain, memperlihatkan fokus terhadap fotografi dengan pengenalan sejumlah ciri-ciri baru yang membolehkan peminat fotografi memaksimumkan kebolehan kamera peranti ini.

Rekaan

Oppo Reno7 5G
Skrin6.43″ AMOLED
FHD+, 90Hz, HDR10+
PemprosesMediaTek Dimensity 900 (6nm)
Cip2 X 2.5 GHz Cortex-A78
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256 GB UFS 2.2
Kamera Utama64+8+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.4
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 65W SuperVOOC
SIM/TelefoniDwi SIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1999 (8/256GB)

Oppo Reno7 5G ini hadir dengan paparan skrin AMOLED bersaiz 6.43 inci yang beresolusi 1080×2400 piksel dengan kadar segar semula 90Hz. Ia juga hadir mempunyai nilai kecerahan 600 nit dan menyokong teknologi paparan HDR10+ yang menjanjikan olahan warna yang sangat baik apabila menonton kandungan yang menyokong teknologi olahan warna ini.

Di bahagian sisi sebelah kiri peranti terletak butang kuasa, manalaka di sebelah yang bertentangan pula ialah pengawal tahap audio dan juga slot dulang dwi-SIM yang juga merumahkan slot pengembangan storan MicroSD yang boleh menambahkan storan peranti sehingga 1TB ini sekiranya diperlukan.

Di bahagian bawah peranti ini pula ialah palam pengecasan USB Type-C dengan sokongan pengecasan pantas 65W dan palam audio 3.5mm di sebelahnya yang membolehkan anda menggunakan peranti ini dengan fon telinga berwayar sekiranya anda masih memilikinya.

Beralih kepada bahagian belakang, Oppo Reno7 5G ini hadir dengan sistem tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama dengan sensor 64MP, kamera ultra-lebar dengan sensor 8MP dan kamera makro dengan sensor 2MP.

Ketiga-tiga kamera ini bergabung dengan perisian kecerdasan buatan dan juga beberapa perisian tambahan untuk membolehkan pengguna untuk mengambil gambar-gambar yang cukup cantik sekali, dan kami akan terangkan lebih lanjut mengenainya didalam ulasan ini.

Bagi saya, keunikan Oppo Reno7 5G ini hadir melalui rekaan warna terbaru mereka khusus untuk peranti ini, iaitu Startrails Blue. Selain daripada warna aurora yang sentiasa berubah di bahagian belakang peranti ini, ia juga hadir dengan permukaan matte yang saya cukup gemari pada peranti-peranti pintar kerana ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesan cap jari apabila memegangnya.

Sayangnya, rangka peranti yang cantik ini akan disembunyikan oleh rangka yang akan digunakan oleh pengguna untuk menghalang sebarang calaran ataupun kerosakan berlaku terhadap peranti ini. Jika anda diantara mereka yang berani tidak mahu menggunakan rangka untuk melindungi peranti ini, kami pasti anda akan suka memegang peranti ini sepanjang masa.

Spesifikasi Dan Antaramuka

Oppo Reno7 5G ini dikuasakan oleh CPU MediaTek Dimensity 900 yang hadir dengan lapan teras fizikal yang terdiri daripada dua teras prestasi tinggi dan enam teras cekap yang sedikit sebanyak membantu dalam mengimbangi prestasi dan kecekapan penggunaan kuasa peranti bergantung kepada keperluan pengguna.

Ia juga dimuatkan dengan memori sebanyak 8GB yang boleh ditambah lagi sebanyak 5GB melalui ciri RAM Extension yang diperkenalkan untuk pelbagai peranti Android sebelum ini. Dari segi penawaran storan pula, Reno7 5G ini hadir dengan storan sebanyak 256GB yang boleh dilanjutkan sehingga 1TB menggunakan kad mikroSD.

Oppo Reno7 5G digerakkan oleh sistem operasi Android 11 dan menggunakan antaramuka ColorOS 12 terbaru yang dikeluarkan oleh Oppo. Bagi saya tidak banyak yang boleh saya katakan mengenai antaramuka ini kecuali ia cukup ringkas dan kelihatan seperti beberapa antaramuka jenama lain seperti Samsung OneUI dan juga antaramuka pada peranti Google Pixel.

Ini bukanlah sesuatu yang buruk, kerana antaramuka yang ringkas bermakna bahawa lebih banyak fungsi peranti boleh diakses dengan mudah, dan pengguna tidak perlu menggali menu untuk mencari fungsi-fungsi tertentu.

Fungsi-fungsi lain yang hadir pada peranti ini termasuklah pengimbas cap jari bawah skrin, pengimbas wajah dan kamera swafoto 32MP dengan kemampuan zum sudut lebar dan ciri PC Connect yang membolehkan anda menyambungkan peranti ini dan menggunakannya terus melalui komputer anda.

Prestasi

Untuk sebuah peranti kelas pertengahan, Oppo Reno7 5G ini hadir dengan preastasi keseluruhan yang sangat baik. Tidak kira samada saya gunakan peranti ini untuk menonton video, bermain permua ataupun mengambil gambar dan video.

Dengan sokongan HDR10+, peranti ini hadir dengan pengesahan sebagai peranti yang menyokong kandungan Netflix HD, dan daripada apa yang dilihat, sekiranya anda seorang yang gemar menonton siri televisyen dan filem sewaktu perjalanan dan sebagainya, ia sebenarnya cukup baik sekali. Satu kekurangan dari aspek ini ialah bahawa pembesar suara pada peranti Reno7 5G ini ialah mono dan tidak stereo.

Dari segi prestasi gaming, cip Dimensity 900 ini cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah besar permua yang ada di pasaran sekarang. Jika anda bertanya jika ia cukup baik untuk Genshin Impact, peranti ini boleh digunakan untuk melakukan quest harian tanpa begitu banyak masalah pada tetapan grafik pertengahan dan efek-efek istimewa dipadamkan.

Fungsi RAM Expansion boleh digunakan untuk menambah jumlah RAM dari 8GB ke 12GB dengan penambahan memori 5GB menggunakan storan terbina didalam peranti ini.

Dalam pengalaman saya menggunakan peranti ini juga, saya dapati bahawa peranti ini cukup jarang sekali panas dan ia mungkin hanya berlaku apabila memainkan permua berprestasi tinggi ataupun merakam video untuk satu jangka masa yang panjang. Walaupun menggerakkan penanda-aras atau

Malaysia juga dilihat telah mula memperkenalkan rangkaian 5G dan walaupun sejumlah peranti Oppo dilihat hadir dengan sokongan untuk rangkaian tersebut di Malaysia, buat masa ini sayangnya peranti Reno7 5G ini masih tidak boleh memanfaatkan rangkaian berkelajuan tinggi itu.

Dari segi bateri pula, Reno7 5G ini hadir dengan bateri 4500mAH, dan berdasarkan penggunaan saya sepanjang dua ke tiga minggu, peranti ini dilihat hadir dengan masa skrin terpasang (screen-on time) sekitar 6-7 jam.

Bagi saya, masa skrin terpasang ini biasa sahaja, dan sekiranya ia tidak cukup baik untuk anda, Oppo turut menawarkan pengecas 65W dalam kotak yang boleh digunakan untuk mengecas peranti dari kosong ke penuh dalam masa sekitar 30 minit sahaja.

Skor Penanda-Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah:

  • Geekbench 5 – 705 markah (1 teras)/ 2154 markah (multi teras)
  • Antutu 3D – 433,232 markah

Markah peranti Oppo Reno7 5G ini yang menggunakan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 900 dilihat sedikit lebih rendah berbanding peranti Realme 9 Pro+ yang diulas sebelum ini yang menggunakan Dimensity 920 dan mencatatkan skor sedikit lebih tinggi.

Walaupun begitu, peranti ini masih lagi mampu menggerakkan pelbagai jenis aplikasi dan juga permua tanpa begitu banyak masalah. Jika anda seorang pemain permua yang tegar, kekangan grafik utama akan diperlihatkan pada tajuk-tajuk seperti COD Mobile ataupun Genshin Impact dimana anda mungkin akan perlu menurunkan sedikit tetapan grafik untuk mendapatkan kadar segar semula yang lebih lancar.

Bagi saya kelebihan peranti ini hadir melalui fungsi yang akan diketengahkan selepas ini, iaitu fotografi.

Fotografi

Sebab utama mengapa anda akan mahu membeli Oppo Reno7 5G ialah untuk kemampuan fotografinya. Sistem tri-kamera peranti ini, termasuklah perisian kamera yang hadir dengan pelbagai fungsi seperti Portrait Mode, Bokeh Flare Portrait, dan AI Colour Portrait memberi kelainan berbanding dengan peranti-peranti lain apabila anda mengambil gambar dengan peranti ini.

Kualiti gambar yang diperlihatkan daripada kamera Reno7 5G ini sangat memuaskan tidak kira samada ia diambil dalam keadaan cerah ataupun gelap. Digabungkan dengan mod-mod yang dikatakan sebelum ini, anda akan dapati bahawa mengambil gambar dengan kamera ini menjadikat kegiatan mengambil gambar sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Dari segi video, Reno7 5G ini juga menggunakan algoritma yang disesuaikan secara automatik berdasarkan jenis keadaan sekeliling. Kemudian, meningkatkan kualiti rakaman video menjadi lebih baik untuk hasil memuaskan. Sokongan algoritma 3D LUT (3D Lookup Table) Color Tuning yang menyokongnya juga membolehkan pengguna merakam video dengan lebih jelas dan terang dalam semua jenis situasi pencahayaan. Maka, tiada keperluan untuk proses pertukaran tetapan kamera secara manual yang diperlukan, sebaliknya rakaman menjadi lebih mudah.

Penggunaan sensor Sony IMX 766 dilihat membolehkan peranti ini mengambil gambar dengan olahan warna yang cukup cantik sekali tidak kira ia diambil di waktu siang ataupun malam.

Walaupun begitu, Oppo Reno7 5G dilihat hadir dengan satu kelemahan yang cukup ketara apabila dibandingkan dengan peranti-peranti lain pada harga yang sama, iaitu ciri penstabil imej optikal (OIS).

Ciri ini mungkin tidak begitu penting apabila anda mengambil gambar di siang hari ataupun di kawasan luar dimana pencahayaan bukanlah suatu masalah. Tetapi untuk mengambil gambar atau video di waktu malam, anda akan memerlukan tangan yang sangat stabil, atau menggunakan tripod untuk mengambil gambar yang lebih tajam.

Kami ada mengeluarkan satu artikel yang memperlihatkan kemampuan penuh kamera Oppo Reno7 5G ini, dan anda boleh membaca mengenainya di sini.

Pesaing

Realme 9 Pro+Vivo V23 5GOppo Reno7 5G
6.4″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~411 ppi)
6.44″, AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~409 ppi)
6.43″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, HDR10+, (~409 ppi)
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 900 (6nm)
2 x 2.4 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4
8 GB RAM
256 GB UFS 2.1
12 GB RAM
256 GB UFS 2.2
8GB RAM
256GB UFS 2.2
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.7 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
16MP50 MP
8MP
32 MP (f/2.5)
Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio MonoAudio Mono
4500 mAh
Pengecasan pantas 60W
4200 mAh
Pengecasan pantas 44W
4500 mAh
Pengecasan pantas 65W
RM1599 (8/ 256 GB)RM2099 (12GB/256 GB)RM1999 (8/256 GB)

Ada Apa Dalam Kotak?

Ini adalah aksesori-aksesori yang akan diterima pengguna di dalam kotak Oppo Reno7 5G apabila anda membelinya.

  • 1x Oppo Reno7 5G
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya
  • 1x Pengecas 2 pin 65W
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Manual

Kesimpulan

Oppo Reno7 5G sekali dilihat sebagai sebuah peranti yang hadir dengan fokus yang mendalam terhadap fotografi. Untuk penggemar fotografi kasual yang inginkan ciri-ciri tambahan seperti Portrait Mode, Bokeh Flare Portrait, dan AI Colour Portrait yang membolehkan pengguna mengolah gambar yang seakan-akan mereka mengambil gambar menggunakan sebuah kamera DSLR.

Walaupun begitu, pada harga RM1999, terdapat beberapa peranti lain di pasaran yang mungkin akan memberi nilai yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan pada peranti ini. Realme 9 Pro+ misalnya hadir dengan kamera yang hadir dengan kemampuan OIS dan juga menggunakan cip pemprosesan yang sedikit lebih berkuasa pada tanda harga lebih mampu milik.

Pro:

  • Rekaan peranti yang menarik dengan pilihan Startrails Blue dan Starry Black
  • Ciri-ciri fotografi yang baik
  • Paparan skrin cerah dengan sokongan HDR
  • Pengecasan pantas
  • Ciri-ciri seperti PC Connect dan sebagainya

Kontra:

  • Harga
  • Pembesar suara mono
  • Kamera tiada OIS
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd