Carian
TM Hentikan Pendaftaran Langganan Baharu Untuk Streamyx Dan Unifi Lite
March 9, 2022 Aman

Telekom Malaysia kini dilihat telah berhenti menawarkan langganan baharu untuk perkhidmatan internet berasaskan sambungan tembaga – iaitu Streamyx (yang telah dijenamakan sebagai Broadband) dan juga Unifi Lite.

Kedua-dua halaman produk berkenaan telah pun dibuang daripada laman rasmi Unifi, disamping pihak TM turut mengesahkan perkara ini melalui khidmat pelanggan. Semakan kasar juga mendapati perubahan ini telah dilakukan sejak 31 Disember lepas.

Dengan perubahan ini, pelanggan baharu tidak lagi boleh melanggan pakej berkenaan – sementara pengguna sedia ada pula masih boleh menggunakannya seperti biasa, dan dialihkan secara berperingkat ke rangkaian fiber Unifi.

Pihak TM sebelum ini telah memulakan proses peralihan dari Streamyx ke Unifi Lite sejak 2019 yang lepas. Kali terakhir, pada Julai lepas, ia dikongsikan masih terdapat sekitar 173,000 pelanggan yang masih menggunakan perkhidmatan Streamyx.

Unifi Lite

Pada hari ini, dengan perkembangan internet mudah-alih, TM turut menyediakan perkhidmatan seperti Unifi Mobile dan Unifi AIr untuk kawasan-kawasan yang sukar diliputi fiber, serta menawarkan sambungan internet lebih pantas.

Dengan permintaan sambungan yang lebih pantas, ia sesuatu yang sedia dijangka di mana penawaran Streamyx dan Unifi Lite akan ditamatkan pada suatu hari kelak. Sebelum ini, ia dilihat menawarkan kelajuan sekitar 8Mbps melaluinya – jauh berbeza dengan permintaan mencapai ratusan Mbps pada hari ini.

Komen