Huawei Nova 9 SE dilancarkan di Malaysia hari ini sebagai model kemas kini untuk Nova 9. Seperti biasa siri Nova memberikan penekanan kepada rekaan premium yang menarik, kemampuan fotografi dan harga yang menarik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Yang menjadikan Nova 9 SE menarik ialah harga jualannya hanyar RM1099, harga yang amat mampu milik kerana selama ini mereka menggunakan menawarkan peranti seperti ini menerusi jenama Honor.
Tetapi Honor sudah bergerak sendiri tidak lagi di bawah payung Huawei. Percaturan Huawei pada Nova 9 SE ialah sensor kamera 108MP yang dipadankan pula dengan cip Snapdragon 680. Dari segi spesifikasi ia lebih rendah berbanding Nova 9 dan Nova 8. Dalam pandang pertama ini kami cuba melihat apakah yang terjadi apabila Huawei menawarkan peranti mampu milik tanpa Honor.
Spesifikasi Dan Rekaan
Huawei Nova 9 SE | |
---|---|
Skrin | 6.78″ IPS LCD, 1080 x 2388 387 ppi, 90Hz |
Pemproses | Snapdragon 680 4G (6nm) |
Cip | 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 8 GB RAM |
Muatan Dalaman | 128 UFS 2.2 (Mikro SD 1TB) |
Kamera Utama | 108MP, f/1.9 (utama), 8MP, f/2.2 (ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) 2MP, f/2.4 (makro) |
Kamera Swafoto | 16MP, f/2.2 |
Bateri | 4,000 mAh Berwayar Pengecasan pantas 66W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari di sisi |
Harga Jualan | RM1099 (8/128 GB) |
Peranti lebih terkini seharusnya mempunyai spesifikasi yang lebih baik berbanding peranti terdahulu. Dari segi saiz skrin 6.78″ Nova 9 SE adalah lebih besar berbanding 6.57″ yang digunakan pada Nova 9. Tetapi bagi mengurangkan kos panel IPS LCD digunakan menggantikan panel OLED yang digunakan sebelum ini. Panel juga sekadar menyokong kadar segar semula 90Hz berbanding 120Hz. Pengorbanan spesifikasi seperti ini adalah kebiasaan dalam industri. Contoh terbaik ialah iPhone SE 2022 yang baru dilancarkan beberapa hari lalu juga menggunakan LCD bagi mengurangkan harga jualan.
Panel adalah rata dan selesa digunakan tetapi di bawah matahari yang terik sedikit sukar untuk melihatkan apa yang dipaparkan. Dengan penggunaan teknologi LCD juga, peranti tidak menyokong paparan kandungan HDR serta pengimbas cap jari diubah ke bahagian sisi terbina pada butang kuasa. Pada Nova 9 pengimbas cap jarinya terletak di bawah skrin secara terbina. Satu lagi teknik mengurangkan kos digunakan di sini.
Bezel adalah hampir sekata dengan hanya bezel dagu sedikit lebih tebal. Kekecewaan kami dengan skrin sedikit terubat kerana panel terasa pantas dan mengesan setiap sentuhan dengan jitu. Nova ialah peranti yang terkenal dengan kemasan tahap mercu pada spesifikasi kelas pertengahan.
Peranti dijana cip lapan-teras Snapdragon 680 4G yang dihasilkan menerusi teknologi 6nm. Ia terdiri daripada empat teras Kryo 265 Gold (berasaskan Cortex-A73) dan empat teras Kryo 265 Silver (berasaskan Cortex-A53) dengan GPU Adreno 610. Ini meletakkan Snapdragon 680 di belakang Snapdragon 690 dan Dimensity 820 yang kini popular di kalangan peranti kelas pertengahan di Malaysia. Ini satu perubahan yang dilakukan kerana adalah cip yang tidak sepantas Snapdragon 778 4G pada Nova 9 walaupun kedua-duanya menggunakan teknologi 6nm.
Ini dipadankan pula dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 128GB. Huawei tidak menyertakan ciri penambahan RAM secara maya pada peranti ini ataupun sokongan penambahan memori menggunakan NM Card mereka.
Membekalkan kuasa ialah sebuah bateri sebesar 4000 mAh yang menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 66W menerusi port USB-C. Ini mungkin ciri yang paling tidak mengecewakan kerana walaupun saiz bateri adalah agak kecil untuk skrin besar, ia hadir dengan pengecas yang amat pantas dengan setiap pembelian.
Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 8MP, kedalaman 2MP dan makro 2MP di bahagian belakang. Dari spesifikasi yang diberikan, tidak ada langsung sistem OIS disertakan. Seperti yang anda mungkin sudah maklum, OIS adalah penting bagi kamera untuk mendapatkan imej yang lebih tajam. Jadi harapan kami untuk kemampuan kamera Nova 9 SE kini perlu direndahkan. Penggunaan sensor 2MP untuk makro juga mengecewakan kerana setakat ini tidak ada satupun sensor dengan saiz ini mampu mengambil gambar makro pada kualiti yang memuaskan.
Tubuh peranti diperbuat daripada logam dengan bingkai yang agak besar khususnya pada sisi kanan bagi meletakkan sebuah pengimbas cap jari. Panel belakang nampak seperti kaca tetapi terasa lebih seperti plastik dengan kemasan berkilat yang cantik. Cantik memanglah cantik tetapi ia terlalu mudah menjadi kotor. Mujur Huawei memberikan sebuah kerangka silikon untuk mempertahankan panel dari sebagai cemar.
Walaupun plastik peranti masih terasa sedap di dalam tangan. Tidak terlalu berat tidak pula terlalu ringan. Walaupun bonggol kamera belakangnya agak besar (sama seperti Nova 9 dan Nova 8) peranti masih seimbang. Tidak seperti Poco X4 Pro 5G yang berat kepala sehingga peranti kerap terasa akan terjatuh dari tangan. Bonggol pada peranti memang agak besar maka membuatkan tidak bole hdiletakkan rata pada meja. Sekali lagi terima kasih Huawei kerana kerangka yang diberikan menyelesaikan isu bonggol dan panel cepat kotor secara serentak.
Lupa pula untuk menyentuh mengenai butang laras suara pada sisi kanan peranti yang terasa tegap walaupun kami merasakan ia tidak diperbuat daripada logam. Sedikit aneh pada Nova 9 SE ialah talam SIM berganda saiz nano diletakkan pada pada bahagian atas.
Pembesar suara mono disertakan dengan kekisi speaker diletakkan di bahagian bawah. Tiada Dolby Audio pada peranti tetapi digantikan dengan sistem Huawei Histen mereka sendiri. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C.
Perisian
Peranti yang kami terima awal menggunakan EMUI 12.0.1 yang berasaskan Android 11 dan bukannya HarmonyOS. Jenis perisian yang digunakan Huawei adalah tidak sekata sehingga mengelirukan. Kami difahamkan EMUI 12.0.1 ialah sistem operasi yang akan digunakan pada kesemua model yang dipasarkan di Malaysia kelak.
EMUI 12 ialah antaramuka yang kemas dan dipenuhi dengan pelbagai ciri tersendiri. Seperti yang kami ada katakan pada ulasan Huawei P50 Pro dan P50 Pocket, HarmonyOS serta EMUI kini kelihatan seperti sebuah sistem operasi hibrid. Elemen antaramuka Android digabungkan dengan Control Panel dari iOS. Kami merasakan hasilnya ialah antaramuka yang mesra pengguna serta mudah difahami tanpa membaca manual terlebih dahulu.
Penggunaan EMUI 12 adalah amat lancar tanpa sebarang isu kecuali seperti anda semua sedia maklum tiadanya sokongan GMS. Kita sudah memasuki tahun ketiga Huawei dikenakan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat. Ingin kami katakan sistem HMS yang digunakan kini sudah matang dengan penawaran yang setanding dengan yang ditawarkan oleh Google. Tetapi ini adalah tidak benar sama sekali.
Hakikatnya memang jumlah aplikasi yang boleh dimuat turun dari Huawei App Gallery adalah banyak tetapi masih belum setanding dengan Play Store. Terdapat Petal Search untuk memudahkan carian aplikasi yang tiada tetapi ia masih belum penyelesaian paling elegan. Setiap aplikasi yang dimuat turun menerusi Petal Search perlu menjalani proses menekan kebenaran beberapa kali kerana sistem keselamatan peranti masih melihatnya sebagai langkah berisiko.
Muat turun mudah tetapi proses kemas kini tidak berlaku automatik. Ia perlu dilakukan secara manual setiap kali. Ini tidak akan berakhir selagi kerajaan Amerika Syarikat menarik semula kesemua halangan yang dikenakan ke atas Huawei. Presiden telah bertukar tetapi kebarangkalian ini berlaku adalah sama seperti Manchester United memenangi EPL tahun ini.
Seperti yang banyak kali kami katakan dalam ulasan peranti-peranti Huawei sejak tiga tahun kebelakangan ini. Peranti Huawei kini hanya boleh disarankan kepada pengguna yang memang tidak memerlukan langsung ekosistem Google atau perisian dari Barat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini Nova 9 SE adalah peranti yang tidak memberikan sebarang isu. Ia adalah sistem operasi yang amat lancar dan pantas walaupun menggunakan cip Snapdragon 680 4G yang tidak begitu berkuasa.
Antara ciri menarik pada EMUI 12 ialah.
- Huawei Share – Perkongsian pelbagai fail dengan mudah dan pantas antara peranti Huawei.
- Device+ – Tambatan mudah kepada produk di bawah ekosistem Huawei.
- Senior Mode – Antaramuka mesra warga emas.
- Gestur – Mengawal peranti dengan gestur tanpa butang kawalan.
- Cutout – Menyorokkan lubang kamera dengan meletakkan palang hitam di atas skrin.
Penanda Aras
Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah:
- Geekbench 5 – 385 markah (1 teras)/ 1661 markah (multi teras)
- Antutu 3D – 259,954 markah
Markah yang dicatatkan adalah sederhana sahaja dengan ia sedikit lebih tinggi apabila dibandingkan dengan Honor 50 Lite dengan Snapdragon 662 (11nm) dengan skor Geekbench 5 808/1248 markah dan Antutu 3D pula mencatatkan 211,679 markah.
Kamera
Siri Nova terkenal dengan kemampuan fotografinya yang baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Pertaruhan Huawei tahun ini ialah dengan menggunakan sensor lebih besar dengan sistem gabungan pixel atau lebih dikenali sebagai pixel binning. Sensor utama memang 108MP di atas kertas tetapi imej akhir yang ditangkap adalah sebesar 12MP sahaja. Teknik ini sudah digunakan pada pelbagai peranti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Aplikasi kamera pada Nova 9 SE adalah mudah difahami kerana tiada bezanya dengan kesemua aplikasi kamera Huawei sebelum ini. Terdapat label yang terang menunjukkan setiap ciri dan juga mod yang mengoptimasikan proses pengambilan gambar. Antara mod yang disertakan ialah Portrait, Super Macro, Night, Aperture, Pro dan banyak lagi. Sistem kecerdasan juga disertakan yang memberikan saranan bergantung kepada objek yang ingin diambil.
Berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera Nova 9 SE setakat ini.
Pesaing
Huawei Nova 9 SE | Oppo A76 | Redmi Note 11 |
6.78″ IPS LCD, 90Hz, 1080 x 2388, (387 ppi) | 6.56″ IPS LCD, 90Hz, 720 x 1612, (269 PPI) | 6.43″ AMOLED, 90Hz, 1080 x 2400, (409 ppi) |
Snapdragon 680 (6nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver | Snapdragon 680 (6nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver | Snapdragon 680 (6nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver |
Adreno 610 | Adreno 610 | Adreno 610 |
8 GB RAM 128 GB UFS 2.2 | 6 GB RAM 128 GB UFS 2.2 | 4/6 GB RAM 64/128 GB UFS 2.2 |
108MP, f/1.9 (utama) 8MP, f/2.2, (ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) 2MP, f/2.4 (kedalaman) | 13MP, f/2.2 (utama) 2MP, f/2.4 (kedalaman) | 50MP, f/1.8 (utama) 8MP, f/2.2, (ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) 2MP, f/2.4 (monokrom) |
16 MP (f/2.2) | 8 MP (f/2.0) | 13 MP (f/2.4) |
Tiada Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Mono | Audio Stereo |
4000 mAh Pengecasan pantas 66W | 5000 mAh Pengecasan pantas 33W | 5000 mAh Pengecasan pantas 33W |
RM1099 (8/128 GB) | RM899 (6GB/128 GB) | RM799 (4/64 GB) RM869 (6/128 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Huawei Nova 9 SE
- 1x Kerangka silikon lutcahaya.
- 1x Pengecas 2 pin 65W Huawei SuperCharge
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
Kesimpulan
“SE” pada Nova 9 SE mungkin adalah untuk “Serasi Ekonomi” kerana harga jualannya lebih mampu milik berbanding majoriti peranti Huawei di pasaran. Untuk mengurangkan kos beberapa kemewahan telah digantikan dengan spesifikasi yang lebih ekonomi. Skrin, bateri, kamera dan pemproses kesemuanya tidak sebaik Nova 9. Sungguhpun begitu peranti masih lagi teras pantas di dalam tangan dan paling penting sekali mengekalkan DNA rekaan Nova yang kelihatan premium.
Dengan harga jualan RM1099 mungkin kami tidak akan begitu kritikal dengan spesifikasinya yang sederhana. Kami sedar di luar sana membeli peranti pada harga RM3000 ribu ke atas adalah di luar kemampuan majoriti pengguna. Nova 9 SE masih mempunyai DNA Nova dan mungkin itu sudah mencukupi. Nantikan ulasan penuh Nova 9 SE pada minggu hadapan.
Pro
- Skrin yang besar
- Kemasan tubuh yang cantik.
- Cip pemproses kelas pertengahan memenuhi keperluan.
- Sistem pengecasan yang amat pantas.
- Harga mampu milik.
Kontra
- Kamera tidak dilengkapi OIS.
- Speaker mono tiada bicu audio.
- Tiada GMS