Xiaomi Watch S1 Active Bakal Turut Diperkenalkan Pada 15 Mac 2022

Diterbitkan pada Mac 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi sebelum ini telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu untuk pasaran tempatan pada 15 Mac 2022. Peranti yang dimaksudkan adalah Xiaomi 12 yang merupakan peranti berspesifikasi mercu lengkap dengan beberapa penawaran menarik. Antaranya seperti skrin dengan kadar segar semula 120Hz, dijana dengan Snapdragon 8 Gen1, bateri dengan pengecasan pantas 67W dan sebagainya.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Xiaomi nampaknya tidak hanya memperkenalkan peranti pintar semata-mata. Sebaliknya, rangkaian peranti boleh-pakai keluarannya turut sama akan dikemaskini dengan penawaran baharu. Melaluinya, Xiaomi Watch S1 Active bakal diumumkan secara rasmi.

Kalau diikutkan, jam tangan ini masih belum dilancarkan. Sebaliknya, ia hanya pernah tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular baru-baru ini. Ia menunjukkan jam tangan ini mempunyai rekaan berbentuk bulat di samping binaan tubuh lebih lasak berbanding model terdahulu. Bukan itu sahaja, bahan berasaskan logam turut akan digunakan pada keseluruhan tubuh sebagai pelindungan utama.

Setakat ini, Xiaomi juga masih belum berkongsi sebarang informasi lanjut mengenainya setakat ini. Sebaliknya, mereka sekadar mengacah kehadirannya kelak bakal lengkap dengan beberapa pilihan warna tali jam. Antaranya seperti putih, biru, hitam, jingga, kuning dan hijau. Untuk penawaran lanjut, sama-sama kita nantikan.

Sumber: Xiaomi Malaysia

komen


© Amanz / 2022 Kami