Samsung melancarkan Galaxy A33 5G, A53 5G dan A73 5G sebentar tadi sebagai tri-sakti peranti kelas pertengahan paling premium mereka tahun ini. Seperti tahun lalu, peranti ini cuba memberikan nilai terbaik walaupun sekadar dilengkapi cip kelas pertengahan.
Kami diberikan akses awal kepada Samsung Galaxy A73 5G beberapa hari yang lalu. Berikut ialah pendapat kami mengenai peranti yang menggantikan Galaxy A72 5G yang kami nobatkan sebagai antara peranti terbaik sepanjang 2021.
Spesifikasi Dan Rekaan
Samsung Galaxy A73 5G | |
---|---|
Skrin | 6.7″ SAMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 778G (6nm) |
Cip | 4 X 3.0 GHz Kryo 570 Gold 4 X 2.5 GHz Kryto 570 Silver |
Cip Grafik | Adreno 642L |
RAM | 8GB |
Muatan Dalaman | 256 UFS (mikro SD 1TB) |
Kamera Utama | 108+12+5+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4, OIS |
Kamera Swafoto | 32 f/2.2 Megapixel |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP67 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 2099 (8/256GB) |
“Wajah” peranti masih sama iaitu skrin 6.7″ SAMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Peranti turut dilengkapi sistem pengimbas cap jari di bawah skrin serta lubang kamera Infinity-O yang terletak di garisan tengah. Bezel adalah nipis dengan hanya bezel bawah sahaja sedikit tebal jika bandingkan dengan tiga sisi yang lain. Rekaan skrin juga masih dikekalkan rata dengan penghasilan semula warna yang cukup memuaskan.

Peranti boleh menyokong paparan HDR di aplikasi YouTube ketika sesi ujian. Tetapi kami tidak sempat menguji sama ada ia turut disokong pada aplikasi Netflix dan Disney+ kelak. Semasa menggunakan peranti memang terasa ia sedikit besar tetapi terdapat mod sebelah tangan bagi mereka yang mempunyai tangan yang kecil kecil.
Skrin bukan sahaja terang tetapi mampu menawarkan warna yang hidup. Ujian dilakukan di dalam bilik maka kami tidak dapat menguji sama ada prestasi di bawah cahaya matahari yang terik adalah baik. Bagi yang tidak selesa dengan kadar segar semula 120Hz, terdapat pilihan untuk mengubah ke mod 60Hz.

Tubuh peranti kini lebih berkotak dan terasa lebih plastik. Ia terasa amat ringan di dalam tangan sehingga terasa canggung kami dibuatnya kerana peranti kegunaan harian sejak beberapa minggu lalu ialah Xiaomi 12 Pro yang berat. Bingkai kini mempunyai sisi rata yang amat selesa di dalam tangan. Mirip dengan rekaan rata yang digunakan pada Galaxy S22+ yang kami ulas beberapa minggu yang lalu. Ia bukan sahaja selesa dipegang tetapi peranti nampak lebih segak.

Butang kuasa dan laras audio masih dikekalkan pada sisi kanan dengan ianya diperbuat daripada logam yang tegap. Talam SIM yang menyokong dwi-SIM nano dan kad mikro SD diletakkan pada bahagian atas. Pengguna boleh menambah storan peranti sehingga 1TB menggunakan kad mikro SD pada Galaxy A73.
“Yang memilukan tahun ini ialah peranti tidak lagi hadir dengan bicu audio 3.5mm“
Bergerak ke bawah terdapat port pengecasan USB-C dan kekisi untuk speaker. Yang memilukan tahun ini ialah peranti tidak lagi hadir dengan bicu audio 3.5mm yang untuk sekian lama menjadikan siri Galaxy A digemari peminat. Samsug mula melihat penggunaan TWS semakin popular dan mengekalkan bicu audio pada siri Galaxy A mungkin bukan lagi satu kepentingan.

Berita baik ialah sistem audio stereo masih lagi dikekalkan cuma satu menghala ke depan dan satu lagi menghala ke bawah. Kami tidak tahun mengapa Samsung tidak mahu mengikuti jejak Xiaomi yang menawarkan peranti dengan speaker stereo yang kedua-duanya menghala ke sisi untuk audio lebih seimbang. Oleh itu audio Galaxy A73 masih lagi kurang seimbang dengan speaker bawah lebih lantang. Sistem audio Dolby Atmos disertakan dan ia boleh digunakan pada speaker fizikal apabila diperlukan.

Bonggol kamera tahun ini walaupun masih berbentuk segi empat sama mempunyai sisi yang lebih landai seakan yang ditemukan pada Oppo Find X5 Pro. Ianya tidak begitu tinggi tetapi masih tidak membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja. Panel belakang masih lagi dari bahan polikarbonat yang digunakan tahun lalu. Kami tahu penggunaan polikarbonat pada peranti adalah isu bagi sebilangan pengguna. Yang boleh kami katakan ialah panel belakang peranti masih kelihatan cantik khususnya dalam warna Awesome Peach dan Awesome Mint.
Panel dari bahan ini juga lebih tahan lasak berbanding kaca dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Terdapat pro dan kontra penggunaan panel kaca atau polikarbonat tetapi bergantung kepada citarasa peribadi yang mana adalah lebih baik.

Cip Snapdragon 778G yang digunakan adalah yang sama seperti yang digunakan pada Galaxy A52S 5G. Ini ialah perbezaan utama antara Galaxy A73 dengan Galaxy A33 dan Galaxy A53 yang menggunakan cip baharu Exynos 1280.
Snapdragon 778G ialah cip kelas pertengahan lapan teras 6nm dengan 2x teras Kryo 670 Gold dan 6x teras Cortex-A670 yang dipadankan pula dengan GPU Adreno 642L. Ini ialah cip terbaik Qualcomm untuk peranti kelas pertengahan setakat ini.
Pilihan model di Malaysia hanya dengan 8GB RAM dan storan 256GB UFS dengan sokongan kad mikro SD. Terdapat juga sokongan sistem RAM Plus yang menambah memori sebanyak 2, 4 dan 6GB mengikut keperluan pemilik. Maka tiada lagi isu peranti melakukan segar semula aplikasi dengan kerap semasa ia disimpan di latar belakang.

Kamera utama memadankan lensa sudut lebar 108MP, lensa ultra sudut lebar 12MP, lensa makro 5MP makro dan lensa kedalaman 5MP. Gabungan sistem kuad-kamera yang berbeza dengan Galaxy A72 5G kerana sistem telefoto dengan 3X zum optikal tidak lagi diberikan. Penekanan diberikan kepada kamera lensa sudut lebar sahaja dengan sensor bersaiz amat besar.
Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 5000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W menerusi port USB-C. Dengan kapasiti besar Samsung yakin peranti boleh digunakan sehingga dua hari. Sejauh manakah ini berpijak di bumi yang nyata hanya akan dapat kami buktikan selepas peranti diulas kelak. Yang boleh kami katakan sekarang ialah tahun ini pengecas tidak diberikan dengan setiap pembelian sama seperti tiada lagi bicu audio 3.5mm.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah menyokong rangkaian WiFi 6, Bluetooth 5.0, dan kesemua sistem GPS di muka bumi. Peranti turut melepasi piawaian kalis air IP67 yang jarang sekali diberikan pada peranti kelas pertengahan Android. Mengakhiri spesifikasi ialah peranti menyokong rangkaian 5G Sub-6GHz namun seperti sedia maklum ia mungkin akan boleh digunakan di Malaysia pada separuh tahun kedua 2022.
Penggunaan Dan Perisian
Peranti menggunakan Android 12 dengan pelancaran One UI 4.1 yang setanding dengan yang digunakan pada siri Galaxy S22. Kami tidak dibenarkan mengambil sebarang tangkapan layar pada model yang dicuba tetapi kami boleh mengesahkan ia sama dengan yang kami gunakan di Galaxy S22+. Maka tangkapan layar Galaxy S22+ kami gunakan di bawah sebagai ganti.

Apa yang anda dapat dengan One UI 4.1? Antaramuka yang minimalis dengan tidak banyak perubahan mendadak berbanding Android stok. Antaramuka juga lebih mudah digunakan dengan sebelah tangan kerana kedudukan ikon serta akses lebih mudah dengan beberapa ciri ketercapaian.

Penggunaan juga lancar apabila dipadankan dengan skrin 120Hz. Tiada sebarang isu kadar bingkai skrin tersedak kerana gagal memproses input yang diberikan. Walaupun menggunakan cip Snapdragon 778G, pengalaman penggunaan adalah setara dengan Galaxy S22+ yang lebih mercu.
Samsung mengesahkan Galaxy A73, Galaxy A53 dan Galaxy A33 akan menerima sokongan versi Android selama empat generasi dan tampalan sekuriti selama lima tahun.

Antara ciri menarik pada One UI 4.1 adalah seperti berikut.
- Edge Panels – Panel sisi untuk aplikasi, kompas, Smart Select dan banyak lagi.
- RAM Plus – Penambahan RAM secara maya sehingga 6GB.
- Edge Lighting – Lampu pada skrin apabila menerima notifikasi.
- AOD – Paparan aktif walaupun ketika skrin dimatikan.
- Easy Mode – Antaramuka mesra warga emas.
- Secure Folder – Menyimpan fail dalam bekas yang dikunci.
- Live Captions – Sari kata masa nyata
Pesaing
Samsung Galaxy A73 5G | Xiaomi 11 Lite 5G NE | Honor 50 |
6.71″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (393 PPI), HDR10+ | 6.55″ AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz, (402 PPI), Dolby Vision | 6.57″ OLED, 1080 x 2340, 120Hz, (392 ppi) |
Snapdragon 778G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold 4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver | Snapdragon 778G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold 4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver | Snapdragon 778G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold 4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver |
Adreno 642L | Adreno 642L | Adreno 642L |
8 GB | 8 GB | 8 GB |
256 GB UFS (Mikro SD 1TB) | 256 GB UFS | 256 GB UFS (Mikro SD 512GB) |
Kamera Utama 108+12+5+5 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4 | Kamera Utama 64+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4) | Kamera Utama 108+8+2+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4) |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.2 |
IP67 | IP53 | Tidak kalis air |
Tiada Bicu Audio | Tiada Bicu audio | Tiada Bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Mono |
5000 mAh (Berwayar 25W) | 4250 mAh (Berwayar 33W) | 4300 mAh (Berwayar 66W) |
Harga RM2099 | Harga RM1599 | Harga RM1999 |
Kesimpulan
Rekaan lebih menarik, pemproses lebih berkuasa, kamera sensor lebih besar dan sistem operasi yang lebih baik ialah percaturan Samsung tahun ini pada Galaxy A73. Tahun ini juga peranti tidak lagi ditawarkan dengan sokongan 4G. Banyak ciri menarik tahun lalu seperti ketahanan air IP67, sokongan kad mikro SD dan speaker stereo Dolby Atmos dikekalkan. Sebagai sebuah pakej Galaxy A73 adalah peranti yang dipakej dengan baik dibantu oleh sokongan versi Android sehingga tiga tahun serta tampalan sekuriti sehingga empat tahun.

Tetapi beberapa perubahan kecil mungkin akan menimbulkan kontroversi. Tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengecas tidak lagi diberikan dengan setiap pembelian. Pengecasan juga masih sekadar 25W sedangkan pesaing mereka seperti Honor menawarkan pengecasan 66W pada peranti kelas pertengahan mereka. Nantikan ulasan kami sekiranya Samsung memberikan peranti untuk diulas dalam masa terdekat.
Pro
- Rekaan tubuh yang lebih menarik.
- Snapdragon 778G ialah cip yang berkuasa.
- Sokongan kad mikro SD 1TB.
- RAM Plus menambah memori sehingga 6GB.
- Kalis air IP67.
- Bateri bersaiz besar.
- Sokongan perisian selama lima tahun.
Kontra
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Sistem pengecasan masih perlahan.
- Pengecas tidak diberikan dengan pembelian.
- Panel belakang polikarbonat.