Seperti sedia maklum, Intel sedia memperkenalkan siri kad grafik Arc Alchemist mereka untuk komputer riba pada penghujung bulan ini. Sewaktu acara CES di Las Vegas pada awal bulan januari, sebuah komputer riba Acer Swift X dikenalpasti sebagai komputer riba pertama yang akan menggunakan kad grafik Arc Alchemist untuk komputer riba.
Terkini, sebuah lagi komputer riba dilihat akan hadir dengan kad grafik tersebut, dan ia adalah Samsung Galaxy Book 2 Pro. Ia adalah sebuah lagi komputer riba nipis dan ringan yang akan menerima manfaat gabungan cip pemprosesan komputer dan grafik Intel.
Butiran mengenai komputer riba disebarkan secara tidak sengaja oleh platform pembelian peralatan digital B&H di Eropah dan kini telahpun dipadamkan.
Dari segi spesifikasi, komputer riba ini dilihat hadir dengan paparan OLED 15.6 inci dengan resolusi Full HD, CPU Intel generasi ke-12 dengan 12 teras dan kelajuan 2.1GHz, memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB.
Dari segi penawaran grafik, laman web tersebut memperlihatkan kad grafik Intel Arc Alchemist, tetapi butiran lanjut seperti model yang akan ditawarkan tidak diperlihatkan.
Menariknya, B&H juga memperlihatkan tanda harga komputer riba ini, yang ditetapkan pada $1,349.99 (~RM5700) yang menjadikannya sebuah komputer riba nipis dan ringan yang mungkin boleh dikatakan agak berkuasa, tetapi pastinya sangat premium.
Intel dijangka akan melancarkan butiran lanjut mengenai kad grafik Arc Alchemist untuk komputer riba mereka pada penghujung bulan ini.