Cari @ Amanz

Google sejak kebelakangan ini cuba mengalih fokus kepada bidang kesihatan pula. Mereka cuba menawarkan kemampuan kamera peranti yang dipadankan dengan kecerdasan buatan untuk menjadi alat dermatologi. Kemudian melalui aplikasi Google Fit, pengguna boleh menyemak kadar pernafasan dan nadi.

Terkini, Google dilihat ingin terus menggunakan teknologi sama dan menggunakan mikrofon pada telefon pintar untuk membaca desiran hati dan degupan jantung. Mungkin seakan ciri yang ditawarkan pada peranti Oppo Find X5 Pro. Ciri ini walau bagaimanapun masih di peringkat awal kajian lagi.

Google Fit

Bersama-sama dengan itu, Google juga baru memohon kepada FDA untuk teknologi baharu berkaitan dengan teknologi membaca corak degupan jantung untuk dimuatkan dalam produk Fitbit baharu. Ciri ini adalah Fibrillasi Atrium atau algoritma AFib dan mendakwa boleh membaca 98% data dengan tepat. Ia sudah pun hadir dalam Fitbir Charge 5 dan aplikasi Sense ECG, cuma mereka mahukan ciri ini disahkan oleh pihak berwajib. Ciri sama turut ditawarkan oleh Mobvoi pada siri TicWatch Pro 3 mereka.

Paling unik sekali adalah di bawah ATAP, Google ingin menggunakan Jacquard Tag untuk membantu pesakit yang baru lepas dibedah. Lebih spesifik adalah pembedahan ortopedik. Dengan tag ini ia akan lebih mudah untuk doktor dan para pesakit, kerana kaedah sekarang adalah menggunakan rakaman pergerakan 3D. Alat ini bersaiz seakan satu USB dan akan menjejak metrik yang sepatutnya seperti sudut kecepatan lutut. Data ini akan dikumpul dalam masa 24 jam dan akan memantau pengguna untuk pulih.

Teknologi dengan kecerdasan buatan dan pembelajaran ini ada banyak potensi. Tetapi disebabkan ia dibangunkan Google, sejauh manakah anda sanggup memberi Google data anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd