Cari @ Amanz

Intel Melancarkan Siri Kad Grafik Arc Alchemist Untuk Komputer Riba Secara Rasmi

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri kad grafik Intel Arc Alchemist diperihatkan untuk seketika di acara CES 2022 pada awal bulan Januari lalu, tetapi selepas itu, Intel dilihat senyap mengenainya sehingga sekarang. Terkini, Intel telah melancarkan siri kad grafik Arc Alchemist ini secara rasmi, tetapi untuk komputer riba terlebih dahulu.

Melalui acara yang baru sahaja diadakan, Intel memperlihatkan tiga siri kad grafik Intel Arc-A untuk komputer riba, termasuklah Intel Arc 3, Arc 5 dan Arc 7. Buat masa ini, Intel hanya menunjukkan butiran mengenai satu daripada kad grafik tersebut, iaitu Intel Arc 3.

Siri kad grafik ini terdiri daripada dua model, iaitu Intel Arc A370M dan Intel Arc A350M, yang mana model A370M mempunyai 8 teras Xe, 8 teras Ray-tracing dan mempunyai 4GB memori GDDR6. Model A350M pula hadir dengan 6 teras Xe, 6 teras Ray-tracing dan juga menggunakan 4GB memori GDDR6.

Intel turut memperlihatkan butiran untuk kad-kad grafik siri Intel Arc 5 dan Arc 7, dimana Arc 5 hadir dengan satu model, iaitu Intel Arc A550M yang hadI uir dengan 16 teras Xe, 16 teras Ray-tracing dan menggunakan 16GB memori GDDR6.

Intel Arc 7 pula akan hadir dengan dua model kad grafik, iaitu Intel A730M dan juga Intel A770M. Model A730M akan hadir dengan 24 teras Xe dan 24 teras Ray-tracing dan akan tiba dengan 12GB memori GDDR6, manakala model A770M, yang dilihat sebagai kad grafik paling berkuasa dalam siri ini akan dilengkapi dengan 32 teras Xe, 32 teras Ray-tracing dan akan dilengkapi dengan 16GB memori GDDR6.

Siri kad grafik Intel Arc 5 dan 7 dijangka akan tiba ke pasaran pada musim panas ini, beberapa bulan selepas siri kad grafik Intel Arc 3 dilancarkan.

Kad grafik Intel Arc Alchemist juga dilihat akan hadir dengan sejumlah ciri-ciri baru yang memiripi beberapa penawaran kad-kad grafik daripada AMD dan juga NVIDIA. Pertama ialah sokongan untuk API DirectX 12 Ultimate yang memberi kad grafik tersebut sokongan untuk ciri-ciri seperti HDR, Ray-tracing dan teknologi Ultra High Bit Rate 10.

Kedua ialah Intel Xe Matrix Extension ataupun Intel XMX, iaitu sebuah enjin kecerdasan buatan yang mempercepatkan tugasan yang memerlukan kecekapan sistem AI, seperti olahan grafik dalam permainan video, pengolahan video beresolusi tinggi dan sebagainya.

Ketiga ialah Xe Super Sampling ataupun XeSS, iaitu teknologi grafik yang membolehkan pengguna untuk memainkan permainan komputer pada resolusi yang lebih tinggi, walaupun olahan grafik dilakukan pada tetapan dan resolusi yang lebih rendah. Ciri ini dilihat memiripi NVIDIA Deep Learning Super Sampling dan juga AMD Fidelity FX Super Resolution yang ditawarkan sebelum ini.

Satu lagi ciri yang akan menarik minat orang ramai ialah sokongan untuk teknologi pengekodan video sumber terbuka AV1. Mereka yang bekerja dalam industri kreatif profesional, khususnya sebagai editor video ataupun penstrim kandungan permainan video. Dengan sokongan codec AV1 ini, kad grafik ini mampu mengolah video pada resolusi dan kadar segar semula tinggi dengan cekap, disamping mengekalkan butiran grafik yang lebih mendalam.

Sejumlah jenama dijangka akan memperkenalkan komputer riba yang dikuasakan dengan kad grafik Intel Arc Alchemist tidak lama lagi. Jenama-jenama seperti Acer dan Samsung sudahpun memperlihatkan penawaran mereka, dan kami pasti lebih banyak jenama pembuat komputer riba akan memperlihatkan model-model mereka sendiri.


Komen ()