ARM pada tahun lepas telah mengumumkan tiga CPU baharu iaitu Cortex-X2, Cortex-A710 dan Cortex A-510. Ketiga-tiga CPU ini digunakan pada cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 yang mana menjanjikan kuasa yang lebih hebat daripada generasi lama.
Kemudian pada November tahun lepas, Qualcomm mengumumkan era baharu Snapdragon dengan menggunakan struktur penamaan baharu untuk cip mereka. Bermula dengan Snapdragon 8 Gen 1 iaitu cip yang menggantikan Snapdragon 888.
Apa pula perkembangan untuk cip pemprosesan kelas pertengahan mereka seperti Snapdragon 6xx dan 7xx? Qualcomm menyatakan mereka hanya akan menggunakan satu digit sahaja dan diikuti oleh angka generasi. Jadi mungkin Snapdragon 7 Gen 1 dan Snapdragon 6 Gen 1?

Digital Chat Station baru-baru ini mendedahkan spesifikasi bagi cip pemprosesan baharu untuk Snapdragon 7. Cip ini dilihat lebih kurang sama dengan Snapdragon 8 Gen 1, tetapi hanya tiada CPU Cortex-X2. Jika Snapdragon 8 Gen 1 adalah 1x 3.0 GHz Cortex-X2 + 3x 2.5 GHz Cortex-A710 + 4x 1.8 GHz Cortex-A510, Snapdragon 7 ini dikatakan adalah 4x 2.5 GHz Cortex-A710 + 4x 1.8 GHz. GPU pula adalah Adreno 662.
Binaan cip ini masih tidak pasti sama ada adakah daripada Samsung ataupun TSMC dan sama ada 4nm atau 5nm juga masih belum diketahui. Ciri dan fungsi baharu cip ini juga masih menjadi tanda tanya, seperti sokongan kamera, kuasa AI, kemampuan grafik dan sebagainya. Dengan pendedahan ini, harapnya pelancaran akan tiba dalam masa terdekat. Sama-sama kita nantikan.