Cari @ Amanz

Hanya sehari selepas Elon Musk menjadi pemegang saham terbesar Twitter, beliau melakukan undian sama ada pengguna ingin ciri menyunting ciapan diaktifkan. Ramai mahukan ciri ini diberikan segera kerana ia telah diminta sejak Twitter memulakan operasi.

Kini Twitter mengesahkan ciri ini sudah diuji dan akan diberikan kepada pengguna kelak. Begitulah pengaruh Elon kerana hanya selepas sehari perubahan yang selama ini bergerak perlahan seperti glasier secara tiba-tiba dilakukan sepantas UITM mengambil tindakan ke atas pensyarah selepas menjadi isu tular media sosial.

Sebagai pengguna tegar Twitter, kami boleh katakan butang menyunting ciapan bukan satu-satunya ciri yang patut diberikan kepada pengguna mereka. Berikut ialah beberapa ciri lain yang kami rasakan perlu diberikan pada kadar segera.

Memadam Semua Ciapan Lama Secara Automatik

Kadang kala kita mahu bermula dari sifar tabula rasa. Ciapan yang dihantar 8 tahun lalu semasa masih kanyaq boleh menyebabkan anda kehilangan kerja sekarang. Kita hidup di dalam dunia dimana kita tidak dibenarkan melakukan satu kesalahan sekalipun kerana ia kemudiannya akan digunakan untuk menghumbankan anda terus ke neraka jahanam sebelum dihisab tuhan.

Walaupun ribuan pengguna Twitter sudah kehilangan kerja kerana ciapan lama (contoh terbaiknya ialah pengarah James Gunn), laman ini masih belum memberikan ciri untuk memadam kesemua ciapan lama secara automatik. Jika anda membersihkan akaun, anda perlu menggunakan perkhidmatan berbayar atau menggunakan perisian yang kemudiannya mengambil masa beberapa hari untuk memadam secara manual.

Kami tahu kerana kami sudah memadam semua ciapan-ciapan lama menggunakan Redact dan ia adalah proses yang sangat leceh. Twitter tolonglah beri satu butang untuk memadam semua ciapan lama atau memadamnya selepas tempoh tertentu. Jika ciri ini wujud isu ciapan lama pemilik asal akaun SKMM tidak akan berlaku.

Menghasilkan Bebenang Secara Automatik Selepas Melepasi Had Aksara

Twitter kini mempunyai had 280 aksara yang adalah peningkatan dari 140 aksara sebelum ini. Bagi yang tidak tahun 140 aksara ialah had yang ditetapkan untuk setiap SMS di zaman awal teknologi selular. Kini adalah normal untuk membaca bebenang sepanjang CERPEN di Twitter. Tetapi proses menghasilkan bebenang sepatutnya dipermudahkan lagi dengan menghasilkan bebenang secara automatik apabila melebihi had aksara. Ciri ini ditawarkan oleh pihak ketiga seperti Threadia.

Dengan ini kami boleh menulis sebuah karangan pendek dalam Notepad kemudian hanya perlu salin dan tampal ke dalam aplikasi Twitter. Twitter kemudian mencari di mana tempat terbaik untuk memotong karangan ini kepada beberapa ciapan dalam bentuk bebenang secara automatik.

Memuat Naik Lebih Dari Empat Gambar Pada Satu Ciapan

Pada waktu ini Twitter mengehadkan empat gambar sahaja boleh dimuat naik dengan satu ciapan. Kami mahukan had ini dinaikkan lagi seperti yang dilakukan oleh Instagram menerusi ciri carousel mereka. Empat adalah jumlah yang terlalu kecil bagi kami. Jika tidak boleh berikan lebih dari empat gambar dalam satu ciapan, kami minta secara automatik 12 gambar boleh dipilih dari galeri dan kemudiannya dihantar dalam bentuk bebenang tiga ciapan. Sama seperti permintaan kami di atas tetapi untuk gambar.

Ciapan Audio Di Android

Artikel ini ditulis pada bulan April 2022. Ciri ciapan menggunakan Audio telah disokong pada peranti IOS sejak Jun 2020. Sudah hampir dua tahun dan ciri ini masih belum diberikan kepada pengguna Android. Apa alasannya? Adakah kerana Jack Dorsey hanya menggunakan peranti Apple dan menganggap pengguna Android adalah pengguna kelas ketiga?

Membisukan Tagar Semudah Menekan Skrin Di Android

Satu lagi ciri mantap yang sudah dinikmati pengguna iOS sejak bila kami pun tak tahu ialah membisukan tagar dengan menekannya di skrin. Pada aplikasi iOS, apabila tagar ditekan pengguna diberikan pilihan untuk menghantar ciapan dengan tagar yang sama, melakukan carian tagar dan membisukan tagar. Amat mudah sekali. Kami inginkan kesamarataan antara platform sekarang juga!

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd