Pengganti OnePlus Nord N10 telah pun tertiris sejak November tahun 2021. Namun sehingga hari ini masih tiada khabar mengenai kehadiran peranti ini. Terkini, PCMag telah menerima maklumat eksklusif daripada COO OnePlus, Kinder Liu.
Mereka telah menerima imej pengolokan rasmi berserta beberapa spesifikasi untuk OnePlus Nord N20. Imej yang diterima sama dengan apa yang tertiris sebelum ini, iaitu rekaan sisi, depan dan belakang yang rata seakan iPhone. Kemudian di belakang kelihatan dua bonggol kamera individu berserta satu kamera kecil.
Nord N20 akan menggunakan skrin 6.43-inci FHD+, panel AMOLED 60Hz dan mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin. Tidak pasti sama ada adakah ini keputusan bijak, kerana peranti pesaing banyak sudah menggunakan skrin kadar segar semula tinggi untuk peranti dalam kelas ini.
Dua bonggol kamera ini dikatakan adalah daripada sensor 48MP dan dua 2MP. Kamera swafoto pula adalah 16MP. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 695 dan peranti turut akan menyokong sistem pengecasan pantas SuperVOOC.
Menurut sumber lagi, siri Nord adalah antara siri telefon pintar yang berjaya untuk OnePlus dengan jualan di Amerika Syarikat melebihi 2.5 juta unit. OnePlus Nord N20 ini walaupun hanya 60Hz mereka menjanjikan kualiti skrin yang hebat dengan penggunaan kuasa kurang. Harga jualan masih tidak pasti, tetapi tahun lepas Nord N10 5G dijual pada harga RM1199.