Intel Bercadang Menggunakan Cip Neuromorfik Seakan Otak Manusia Pada PC

Diterbitkan pada Apr 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Intel memperlihatkan cip Loihi mereka kepada umum pada tahun 2018. Ianya unik kerana adalah sebuah cip neuromorfik seakan struktur neuron pada otak manusia. Intel berkata Loihi boleh melakukan pemprosesan data lebih pantas berbanding CPU biasa tetapi menggunakan kuasa yang jauh lebih rendah. Kini menurut laporan The Register, Intel bercadang menggunakan Loihi pada PC dan juga perkhidmatan awanan di masa hadapan.

Ini dijelaskan oleh ketua Intel Lab, Rich Uhlig dalam satu pertemuan meja bulat bersama dengan wartawan teknologi. Dalam ujian yang dilakukan oleh Sandia National Laboratories baru-baru ini, Loihi didapati sesuai digunakan dalam melakukan pemprosesan data penyebaran penyakit dalam populasi, menjejak pergerakan dalam pasaran saham dan juga data platform media sosial.

Struktur seakan pin pada Loihi yang memerlukan kuasa apabila ia diperlukan. Oleh sebab itulah penggunaan kuasanya lebih rendah berbanding cip bukan neuromorfik. Ini membuatkannya sesuai untuk digunakan pada CPU PC khusus untuk tugasan mengawal sistem kecerdasan buatan yang tidak diperlukan sepanjang masa.

Intel masih belum mempunyai produk untuk pasaran berasaskan Loihi tetapi dengan potensi yang ditunjukkan setakat ini, ia mungkin tiba dalam masa terdekat. Selain Intel, Samsung juga mempunyai perancangan menghasilkan cip neuromorfik pada sistem kecerdasan buatan, SSD dan RAM.

komen


© Amanz / 2022 Kami