Siri Xiaomi 12 adalah peranti mercu yang menarik, dengan skrin yang cantik, kamera yang mantap, rekaan yang seksi, prestasi yang pantas dan paling penting pada harga yang tidak terlampau mahal. Seperti tahun lepas dengan Mi 11 atau Xiaomi 11, tahun ini Xiaomi juga akan menawarkan pelbagai produk di bawah nama Xiaomi 12.
Kami telah pun melaporkan mengenai Xiaomi 12S dan Xiaomi 12T, dan yang sudah jelas akan datang nanti adalah Xiaomi 12 Lite. Rekaan tertiris sudah pun kita lihat, terkini peranti sebenar mula muncul dan tersebar di arena web.

Rekaan keseluruhan peranti ini masih kelihatan sama dengan Xiaomi 12, tetapi di sisi, skrin, atas dan bawah kelihatan sama seperti Redmi Note 11 Pro. Jika Xiaomi lakukan perkara sama dengan Xiaomi 11 Lite tahun lepas, binaan Xiaomi 12 Lite juga besar kemungkinan adalah plastik.
Xiaomi 12 Lite dijangka akan menggunakan skrin 6.55-inci AMOLED FHD+ dengan 120Hz, dijana cip Snapdragon 778G yang dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM serta storan dalaman mencapai 256GB. Kamera utama adalah 108MP, namun kualitinya mungkin tidak akan sehebat 50MP pada Xiaomi 12. Swafoto pula hanya 16MP, bateri 4500mAh dengan pengecasan 67W, audio stereo Hi-Res, mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin dan menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12.

Harga jualan mungkin akan lebih mahal daripada Redmi Note 11 Pro+ 5G dan lebih murah daripada Xiaomi 12. Asalkan harga tidak lagi mahal berbanding Poco F4 GT, peranti ini mungkin akan berbaloi ntuk dimiliki. Adakah anda nantikan peranti ini atau lebih gemarkan peranti mercu Xiaomi sahaja?