Cari @ Amanz

Motorola adalah antara jenama terawal yang memperkenalkan telefon pintar dengan skrin boleh lipat. Nama Motorola ketika pelancaran peranti ini naik sekejap kerana mereka mengembalikan peranti legenda Razr, kini dalam iterasi moden. Peranti premium mereka ini hadir dengan bentuk clamshell seperti Samsung Galaxy Z Fold.

Motorola kini mempunyai dua model, iaitu yang asal dan versi 5G. Motorola Razr 3 dikatakan akan hadir dengan rekaan baharu dan dijana cip lebih berkuasa, mungkin Snapdragon 8 Gen 1. Jika sebelum ini hanya menggunakan cip peranti kelas pertengahan, model baharu ini akan lebih sebaris dengan pesaing lain.

Kini peranti sebenar yang dikatakan adalah Razr 3 telah tertiris. Skrin peranti ini dikatakan adalah 6.7-inci di dalam, masih AMOLED FHD+ dan turut menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 8 Gen 1, dengan pilihan sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB.

Untuk kamera pula ia menggunakan konfigurasi dwi-kamera daripada sensor 50+13 Megapixel. Rekaan luar peranti jelas mempunyai beza ketara. Jelas kelihatan juga adalah, peranti ini mungkin menggunakan skrin luar lebih besar berbanding model sebelum. Skrin dalam pula kekal dengan rekaan skrin berlubang untuk kamera swafoto.

Peranti turut mempunyai ciri UWB terbina, warna akan ditawarkan dengan dua pilihan iaitu Quartz Black dan Tranquil Blue. Harga jualan tidak pasti adakah setanding Z Fold3 atau Z Flip3 atau lebih mahal? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd