Pada acara Google I/O 2022 hari ini, Google memperlihatkan fokus kembali kepada platform Android di tablet – apatah lagi dengan lebih 270 juta pengguna yang menggunakan Android pada skrin bersaiz besar.
Selari dengannya, Google mengumumkan beberapa perkara – termasuk pengoptimasian khusus Google Play Store, disamping akan hadir dengan Pixel Tablet mereka tersendiri.

Pada masa yang sama, Google juga akan mengoptimasikan sistem operasi Android 13 untuk tablet, termasuk penyertaan sebuah bahagian dok pada bahagian bawah untuk memudahkan akses kepada aplikasi utama dengan pantas.
Google turut menyatakan lebih daripada 20 aplikasi mereka akan dioptimasikan dan direkabentuk semula supaya mesra skrin tablet.
Beberapa aplikasi pihak ketiga lain turut telah menyatakan sokongan, termasuk seperti TikTok dan Facebook.
Selain Google sendiri, beberapa pengeluar peranti turut telah menyatakan pengoptimasian antaramuka mereka untuk skrin tablet – termasuk salah satunya adalah Vivo dengan Origin HD.