Cari @ Amanz

Realme TechLife Watch SZ100 Akan Dilancarkan Bersama Dengan Narzo 50 Pro 5G

Link Copied!

Realme telah menjadualkan sebuah acara pelancaran di India pada 18 Mei 2022. Melaluinya, mereka bakal memperkenalkan peranti spesifikasi kelas pertengahan iaitu Realme Narzo 50 Pro 5G. Pada masa sama, besar kemungkinan Realme Narzo 50 5G turut akan diumumkan bersama-sama dengannya.

Bagaimanapun, acara berkenaan tidak sekadar memperlihatkan pengenalan untuk peranti pintar sahaja. Sebaliknya, barisan peranti boleh-pakai Realme turut akan dikemaskini dengan penawaran baharu. Realme TechLife Watch SZ100 akan diumumkan, sekaligus menjadi model kedua untuk siri berkenaan selepas Realme TechLife Watch S100 sebelum ini.

Menyentuh sedikit mengenai jam tangan tersebut, ia dilihat akan menggunakan muka jam berbentuk segi empat bersama tali sejenis silikon. Paparan yang digunakan adalah sebesar 1.69-inci HD dengan sokongan skrin berwarna. Di samping itu, ia turut dilengkapi butang fizikal pada sisi kanan bertujuan bagi mengakses atau menavigasi kawalan menu.

Turut melengkapi jam tangan ini adalah sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan. Antaranya seperti pemantauan kadar degupan jantung, suhu pada kulit dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, ia turut sama dikatakan mampu bertahan sehingga 12 hari dengan sekali pengecasan. Ia bagaimanapun bergantung kepada cara penggunaan masing-masing.

Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab selepas ianya dilancarkan secara rasmi kelak.


Komen ()