Kerjasama antara Xiaomi dan Leica sudah tertiris sejak tahun lepas lagi, selepas Leica tidak lagi digunakan pada peranti Huawei. Namun sehingga hari ini, masih tiada lagi peranti Xiaomi yang menggunakan teknologi kamera daripada Leica.
Selepas Xiaomi memperkenalkan Xiaomi Mi 11 Ultra, iaitu sebuah peranti yang memfokuskan fotografi – ramai menjangkakan Leica ini akan disertakan pada penggantinya – Xiaomi 12 Ultra. Rekaan kamera Xiaomi 12 Ultra ada tertiris beberapa minggu lepas yang memperlihatkan logo Leica pada bonggol kamera.
Terkini, ia sudah pun rasmi. Xiaomi dilihat telah melakukan perjanjian untuk jangka masa panjang bersama Leica. Tiada sebarang pengesahan sama ada adakah ia terhad dengan Xiaomi sahaja atau turut akan digunakan pada Redmi. Apa yang pasti, peranti pertama Xiaomi dengan kamera Leica akan dilancarkan pada bulan Julai akan datang.
CEO Xiaomi, Lei Jun menyatakan kerjasama ini adalah untuk gabungan rekaan optikal dan inovasi teknologi. Jika benar apa yang kita lihat pada imej tertiris sebelum ini, peranti pertama Xiaomi dan Leica ini mungkin adalah Xiaomi 12 Ultra yang dikhabarkan akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1+.