Siri Komputer Riba ASUS Zenbook OLED Yang Dikuasakan CPU Intel Alder Lake H Kini Di Pasaran Tempatan

Diterbitkan pada Mei 23, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Awal bulan ini, ASUS telah memperlihatkan sejumlah siri komputer riba ASUS Zenbook OLED yang memenuhi permintaan sejumlah jenis pengguna, dari mereka yang memerlukan sebuah komputer riba untuk tujuan penggunaan biasa di rumah dan pejabat, sehinggalah untuk mereka yang dan memerlukan sebuah komputer riba yang berkuasa dan bekerja dalam industri kreatif profesional.

ASUS Malaysia hari ini telah membuka jerayawara yang mempamerkan tiga buah model komputer riba ASUS Zenbook OLED terbaru yang dikuasakan oleh siri CPU Intel Alder Lake generasi ke-12 yang terbaru.

Pertama ialah siri komputer riba ASUS Zenbook Pro 14 Duo OLED, iaitu siri komputer riba ASUS Zenbook Pro Duo yang kini hadir dengan rekaan dwi skrin yang kini dipadatkan kedalam sebuah model komputer riba dengan paparan OLED bersaiz 14 inci dan 12.7 inci yang mana kedua-duanya hadir dengan kadar segar semula 120Hz dan juga olahan gamut warna DCI-P3 100 peratus.

Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-12700H, memori DDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD 512GB. Dari segi penawaran grafik pula komputer riba ini menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti yang cukup berkuasa untuk mengolah grafik 3D ataupun video beresolusi tinggi.

Menurut ASUS Malaysia, konfigurasi komputer riba ASUS Zenbook Pro 14 Duo OLED ini dijual pada harga RM8999.

ASUS Zenbook Pro 16X OLED yang dinobatkan sebagai komputer riba ASUS Zenbook Pro paling berkuasa setakat ini, tetapi untuk penawaran pasaran tempatan, ASUS Malaysia dilihat membawa masuk model yang dikuasakan CPU Intel Core i7-12700H, memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe4 sebesar 1TB.

Untuk penawaran grafik pula komputer riba ini dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 yang cukup berkuasa untuk pelbagai jenis tugasan pengolahan grafik 3D, video dan sebagainya, dan juga boleh menggerakkan pelbagai permainan komputer moden tanpa masalah.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini sudah mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM11,999.

Bagi anda yang menggemari tema angkasa lepas, ASUS Malaysia juga telah membawa masuk komputer riba ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition, komputer riba ASUS Zenbook 14X OLED yang tampil dengan rekaan angkasa lepas yang unik dan menyambut ulang-tahun ke-25 misi 600 hari komputer riba ASUS P6300 di angkasa lepas selama 600 hari.

Komputer riba ini tampil dengan panel OLED bersaiz 14 inci yang dikuasakan oleh dua pilihan CPU Intel Alder Lake, iaitu Intel Core i7-12700H dan Intel Core i5-12500H, memori DDR5 sebanyak 16GB dan juga pilihan storan SSD PCIe4 bersaiz 512GB dan 1TB.

Sebagai sebuah gimik, ia juga hadir dengan paparan ZenVision yang boleh memperlihatkan mesej khusus dan juga animasi yang boleh diubahsuai melalui perisian terbina.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa dua model komputer ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition ini akan dibawa masuk:

  • ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition (Intel Core i7-12700H, 16GB, 1TB) – RM6499
  • ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition (Intel Core i5-12500H, 16GB, 512GB) – RM5599

Jika anda tidak begitu kisah mengenai gimik-gimik tambahan yang diperlihatkan oleh model-model komputer Zenbook yang lain, dan hanya mementingkan kuasa pemprosesan dan kemudahan untuk membawa komputer riba anda kemana-mana, ASUS Zenbook 14 OLED mungkin untuk anda.

Ia hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2.8K berbingkai nipis NanoEdge dengan kadar segar semula 90Hz yang menjanjikan jumlah keluasan paparan yang lebih besar walaupun komputer riba ini hadir dengan saiz yang lebih kecil.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i7-1260P ataupun Intel Core i5-1240P, memori DDR4 sebanyak 16GB dan pilihan storan SSD PCIe4 sebesar 512GB dan 1TB, bergantung kepada konfigurasi CPU dan storan.

Semua komputer riba ini juga dilihat hadir dengan sokongan untuk sambungan penghantaran data Thunderbolt 4 dan juga WiFi6E yang menjanjikan sambungan internet pantas jika disambungkan kepada penghala yang menyokongnya.

ASUS Zenbook 14 OLED tampil dengan dua pilihan konfigurasi CPU dan storan dan sudah mula dijual di pasaran tempatan pada harga berikut:

  • ASUS Zenbook 14 OLED (Intel Core i7-1260P, 16GB DDR5, 1TB SSD PCIe4) – RM5599
  • ASUS Zenbook 14 OLED (Intel Core i5-1240P, 16GB DDR5, 512GB SSD PCIe4) – RM4399

komen


© Amanz / 2022 Kami