Cari @ Amanz

Nothing akan melancarkan Nothing Phone (1), telefon pintar pertama mereka pada 12 Julai akan datang. Peranti ini akan hadir dengan rekaan panel belakang lutsinar seakan TWS mereka Nothing Ear (1). 100 unit pertama peranti ini turut akan dilelong melalui StockX dengan ukiran Edition (1/100).

Selepas banyak kali Nothing mengacah yang peranti mereka akan hadir dengan sesuatu yang unik, satu acara yang mereka anjurkan di Switzerland telah mendedahkan peranti sebenar kepada umum. Ia disimpan dalam satu kotak kaca untuk memaparkan sistem LED unik pada panel belakang peranti ini.

Sistem pencahayaan LED pada panel belakang peranti ini dilihat boleh berubah-ubah mengikut turutan pada bahagian kamera, bahagian bucu atas dan satu lagi pada bahagian bawah. Tidak pasti jika pengguna boleh kawal atau tidak LED ini, tetapi ia jelas sekali akan menyala mengikut notifikasi.

Bukan itu sahaja, rekaan peranti ini juga kelihatan amat cantik berbanding imej pengolokan. Ia kelihatan kemas dan moden, dengan panel belakang lutsinar yang tidak mendedahkan komponen sepenuhnya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd