Nothing akan melancarkan telefon pintar pertama mereka Nothing Phone (1) pada 12 Julai akan datang. Peranti ini akan hadir dengan rekaan yang unik, seperti panel belakang yang hampir lutsinar tetapi komponen dalaman tidak dapat dilihat keseluruhannya.
Nothing baru-baru ini mengacah lagi rekaan peranti mereka, mendedahkan bahagian sisi yang kelihatan rata dan nampak premium. Ia seakan iPhone 13 dengan kamera iPhone X.

Bukan itu sahaja pada 21-23 Jun nanti, Nothing akan melelong 100 peranti pertama mereka melalui StockX. Setiap peranti ini akan mempunyai ukiran Edition (1/100) sehinggalah Edition (100/100). Penghantaran Nothing Phone (1) edisi khas ini akan mengambil masa sehingga 35 hari, jadi kita boleh jangkakan yang jualan rasmi kepada umum mungkin akan berlaku sekitar hujung Julai atau Ogos nanti.

Masih tiada spesifikasi rasmi lagi buat masa ini. Peranti ini akan menjalankan sistem operasi Nothing OS berasaskan Android 12, dan mungkin akan menyertakan pengecasan 45W. Peranti ini dibina dengan aluminium kitar semula dan bio-plastik, logo Nothing berada di dalam, dan turut kelihatan butang kawalan notifikasi seakan Alert Slider pada peranti OnePlus. Peranti ini mempunyai rekaan seakan TWS mereka Nothing Ear (1).

Nothing Phone (1) dijangka hadir dengan skrin 6.55-inci FHD+ OLED 90Hz, dijana sama ada dengan Snapdragon 778G atau Snapdragon 8 Gen 1, memori 8/256 GB, dwi-kamera dan bateri 4500mAh. Harga jualan buat masa ini masih tidak pasti lagi, tetapi ia dijangka akan dijual pada harga dalam lingkungan RM2000 ke RM3000.
Sama-sama kita nantikan.