Haruskan Anda Gunakan Telefon Pintar Selama 7 Tahun Seperti Chris Evans?

Diterbitkan pada Jun 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Minggu lalu tidak banyak berita menarik dalam dunia teknologi kerana secara tradisinya Jun bukanlah bulan yang sibuk untuk pelancaran produk baharu. Maka antara berita paling mendapat perhatian umum ialah Chris Evans, pelakon yang menjadikan Captain America ikonik dalam dunia MCU akhirnya menggantikan iPhone 6S beliau ke iPhone 13 Pro.

Adalah amat mengejutkan orang ramai apabila mengetahui antara pelakon ternama dunia yang mencatatkan pendapatan lebih RM191 juta pada tahun 2019 masih menggunakan iPhone yang dilancarkan pada tahun 2015! Kami sendiri bertukar iPhone setiap tahun dan telefon Android beberapa minggu sekali atas sebab kerja. Agak tak masuk akal pelakon yang mempunyai duit bertimbun sanggup menggunakan telefon yang lebih layak dimasukkan ke dalam muzium.

Maka timbul persoalan perlukah anda mengikuti langkah Captain America, Buzz Lightyear, dan Johnny Storm dengan menggunakan telefon pintar selama mungkin hingga ia membunyikan nada dering yang terakhir?

Mitos iPhone

Sebelum bermula mari bincangkan mitos dan legenda urban bahawa iPhone boleh digunakan tanpa masalah sehingga lima tahun. Ini adalah tidak benar sama sekali dan mungkin hanya kepercayaan yang ingin menyedapkan hati. Kami boleh katakan ini mitos kerana kami menggunakan iPhone 7 Plus – yang dilancarkan pada tahun 2016 – hingga tahun 2020. Selepas tiga tahun peranti mula terasa perlahan lebih-lebih lagi apabila mode mengurangkan kuasa penuh kontroversi iOS diaktifkan.

Lebih teruk selepas kesihatan bateri menjunam ke sekitar 65% dan peranti tidak dapat bertahan separuh hari. Mengecas dua kali sehari akan menjadi rutin harian. Jika bateri ditukarkan sekalipun perbezaan kelancaran iPhone 7 berbanding iPhone 12 adalah seperti langit dan bumi. Kualiti kameranya juga seperti kamera kentang.

Oleh sebab itu iPhone 7 yang sudah terlalu perlahan untuk digunakan telah digantikan dengan iPhone X yang sudah berusia lima tahun. Prestasi iPhone X ini juga sudah tidak begitu memuaskan dan “boleh digunakan tanpa masalah selama lima tahun” sudah boleh dikuburkan seperti siri popular Mythbusters.

Chris Evans sendiri mengaku dalam ciapan beliau prestasi bateri dan kamera 6S yang digunakan selama ini sudah tidak lagi memuaskan.

Kenapa Sekarang Lain?

Apakah perubahan yang berlaku yang menyebabkan iPhone moden tidak seperti iPhone dahulu? Kalau anda ingat pernah suatu ketika pengguna iOS bangga dengan iPhone yang hanya dilengkapi hanya 2GB RAM tetapi masih lancar. Kemudian pada iPhone 7 ia meningkat ke 3GB RAM sebelum meningkat pula ke 4GB RAM pada iPhone XS Max dan kini 6GB RAM pada iPhone 12 Pro Max.

Aplikasi modem memerlukan lebih banyak kuasa dan memori tidak seperti zaman awal iPhone. Era iPhone semua hanya memerlukan 2GB RAM membenarkan iPhone lama boleh digunakan bertahun lamanya sekarang tidak lagi.

Lihat sahaja apa yang berlaku pada iPad tahun ini. Hanya iPad dengan cip M1 sahaja boleh menyokong ciri Stage Manager baharu pada iPadOS 16. iPad Air Gen 2 yang dilancarkan tahun 2020 kini tidak lagi diberikan ciri desktop seakan macOS yang sudah lama diminta.

Macamana Dengan Android?

Situasi iPhone sekarang adalah menyedihkan tetapi pada platform Android ini ialah norma lama sejak dari dahulu lagi. Secara lazimnya peranti Android hanya kami boleh sarankan sehingga tiga tahun sahaja kerana tiada lagi kemas kini versi Android diberikan. Tampalan sekuriti pula kemudiannya diberikan tiga bulan sekali. Dalam dunia dimana telefon pintar ialah komputer kegunaan harian untuk perbankan dan menyimpan data peribadi, tampalan sekuriti penting sekiranya kerentanan serius ditemui tidak boleh diberikan setiap tiga bulan.

iOS sekarang mungkin sudah menjadi terlalu berat untuk iPhone lama tetapi sekurang-kurangnya iPhone komited memberikan tampalan sekuriti dengan segera tanpa menerusi kemas kini versi iOS seperti yang mereka lakukan sebelum ini bermula dengan iOS 16 menerusi Rapid Security Response.

Apple juga masih menyokong tampalan sekuriti pada iPhone dan iPad yang tidak lagi menerima versi iOS terkini (serentak dengan peranti yang lebih baharu) sehingga sekarang bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Haruskah Pakai Telefon Selama 7 Tahun?

Jadi haruskah anda memakai telefon pintar sehingga 7 tahun? Jawapannya bagi kami ialah tidak jika anda mampu membeli peranti yang lebih baik. Sebabnya ialah peranti tidak akan lagi lancar selepas menggunakan sistem operasi baharu yang memerlukan lebih banyak kuasa memproses dan RAM. Sebab kedua ialah kerentanan yang mungkin ada dan tidak akan ditampal dengan pantas kerana peranti lama paling bawah pada strata kepentingan untuk diberikan kemas kini.

Tetapi jika anda bertegas untuk gunakan telefon sehingga 7 tahun atas sebab tidak mahu menyumbang kepada sampah elektronik, tiada keperluan menggunakan telefon lebih pantas atau tiada dana pada waktu ini, telefon pintar yang paling selamat digunakan masih lagi iPhone. Komitmen mereka untuk meneruskan sokongan tampalan sekuriti yang serentak pada kesemua model harus diberikan pujian. Sokongan sebaik ini masih tidak wujud pada Android kerana tampalan dihentikan selepas 5 tahun kecuali jika anda menggunakan Fairphone yang disokong selama 7 tahun!

komen


© Amanz / 2022 Kami