Xiaomi Mi Band, atau kini digelar sebagai Xiaomi Smart Band adalah penjejak kesihatan mampu milik yang cukup populer. Ini kerana ia mempunyai ciri dan fungsi yang mencukupi untuk menjejak kesihatan pengguna, saiz kecil, bateri tahan lama serta memberikan pengalaman penggunaan yang baik dan mudah untuk digunakan.
Model terkini adalah Xiaomi Smart Band 7, yang sudah bertahun menggunakan rekaan sama sejak Mi Smart Band 5. Bezanya adalah skrin lebih besar dan mempunyai lebih banyak aplikasi terbina. Di Malaysia ia dijual pada harga RM199.
Pada 4 Julai nanti, semasa pelancaran Xiaomi 12S – Xiaomi turut akan melancarkan Xiaomi Smart Band 7 Pro. Ia adalah model Pro yang benar-benar berbeza. Dalam video pendek yang mereka terbitkan, ia kelihatan mirip dengan Redmi Smart Band Pro. Tetapi binaan dikatakan adalah lebih premium dengan tubuh diperbuat daripada besi.
Digital Chat Station mendedahkan yang Xiaomi akan menawarkan dua pilihan warna, sama ada emas atau hitam berkilat. Masih tidak ada sebarang informasi mengenai penjejak kesihatan ini. Tetapi ia berkemungkinan mempunyai ciri sama dengan Smart Band 7 dengan skrin besar, muka jam lebih baik dan mungkin beberapa ciri dan fungsi yang akan menjadi eksklusif untuk model lebih premium.