Federal Communications Commission, badan telekomunikasi Amerika Syarikat baru-baru ini dilaporkan telah memberi kebenaran kepada Starlink untuk membekalkan sambungan internet kepada kenderaan-kenderaan bergerak.
Pengumuman ini pasti akan menggembirakan Elon Musk dan SpaceX kerana mereka sebelum ini sudahpun menandatangani perjanjian dengan syarikat penerbangan dan perkapalan untuk membekalkan perkhidmatan internet di ruang udara.
Dengan kebenaran ini, Starlink dilihat boleh membekalkan perkhidmatan internet kepada pelbagai syarikat pengangkutan yang lain seperti bot, bas, lori dan sebagainya juga. Perkhidmatan internet satelit Starlink boleh dikatakan satu-satunya syarikat yang berkembang dengan pesat secara global.
Starlink kini telah melancarkan 2700 satelit secara global, dan sudahpun mula mengaktifkannya untuk sejumlah negara di seluruh dunia. Starlink juga dijangka akan memperkenalkan perkhidmatan internet satelit mereka di Malaysia menjelang 2023 kelak.
Samada ia juga akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat pengangkutan darat dan udara Malaysia apabila ia dilancarkan di sini, ia masih tidak diketahui lagi buat masa ini.